Beijing: Seorang wanita di wilayah Guangdong, selatan China meminta pemain permainan video dalam talian supaya ‘membunuh’ watak suaminya bagi menghentikan tabiat lelaki itu berjaga hingga lewat malam untuk bermain permainan berkenaan.
Baca juga: Pengadil tak adil? Shahidan Kasim santuni atlet lumba jalan kaki, titip kata semangat
Rancangannya membuahkan hasil apabila ramai pemain menyertai misi memburu watak suaminya, lapor South China Morning Post.
Wanita yang dikenali sebagai Chen itu memuat naik rakaman video pada 14 November lalu yang memaparkan suaminya, Li, sedang leka bermain permainan berkenaan.
Dia kemudian meminta pemain lain ‘membunuh’ watak lelaki itu sekitar jam 1 pagi supaya suaminya masuk tidur bersamanya.
Chen berkata, Li berjaga sehingga jam 3 atau 4 pagi selama tiga malam berturut-turut sebelum itu, sekali gus mengganggu tidurnya.
Pada mulanya, ramai warganet menganggap permintaan wanita itu sekadar gurauan, namun reaksi Li dalam rakaman video berkenaan mengubah tanggapan mereka apabila lelaki itu tidak mengendahkan rayuan isterinya, malah dengan yakin menyatakan mustahil pemain lain dapat menemuinya.
“Saya tidak berniat mahu menolong isteri kamu tetapi kamu sudah memberi saya alasan kukuh untuk memburu kamu,” kata seorang pemain di ruangan komen.
Rakaman itu turut mendedahkan identiti permainan (ID) Li iaitu ‘tiantiankaixin’ yang bermaksud ‘gembira setiap hari’ dalam bahasa Cina selain lokasi dan watak digunakannya.
Pada malam-malam berikutnya, ramai pemain log masuk ke permainan itu dengan satu misi iaitu mencari dan membunuh watak ‘tiantiankaixin’.
Malah, dalam tempoh tiga jam, watak Li dibunuh berulang kali sehingga dia terpaksa berlari sebagai roh dari tanah perkuburan ke lokasi wataknya terbunuh untuk menghidupkannya semula.
Pada malam kedua selepas Chen memuat naik rayuannya, Li masuk tidur sebelum jam 12 tengah malam.
Menurut Chen, itu adalah waktu tidur paling awal suaminya sepanjang tahun ini dengan seorang pemain lain yang menggunakan ID sama iaitu ‘tiantiankaixin’ turut menjadi sasaran secara tidak sengaja.
Pada hari keempat, Chen memaklumkan Li sudah mengaktifkan wataknya kepada mod halimunan, namun pemain lain masih berjaya mengesan lokasinya dan meneruskan misi memburu itu.
Akaun rasmi bahasa Cina permainan World of Warcraft turut memuat naik video berseloroh mengenai tindakan isteri itu menawarkan ganjaran untuk memburu suaminya.
Li kemudian dilaporkan berhenti berjaga lewat malam untuk bermain permainan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd