Pemandu e-hailing, penumpang warga Singapura maut kemalangan

Pemandu e-hailing, penumpang warga Singapura maut kemalangan

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Seorang pemandu e-hailing dan penumpangnya warga Singapura, maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 9, Jalan Johor Bahru-Air Hitam (arah Skudai), di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, berkata pihaknya menerima makluman mengenai kemalangan itu kira-kira jam 11.27 pagi tadi.

Katanya, ia membabitkan sebuah lori dan sebuah kereta Perodua Bezza yang mengakibatkan dua kematian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Bezza (e-hailing) yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun bersama seorang penumpang lelaki warga Singapura berusia 27 tahun dalam perjalanan dari arah Johor Bahru menuju ke Skudai.

Bagaimanapun katanya, kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang sebelah kiri sebuah lori Mitsubishi Fuso yang dipandu lelaki tempatan berusia 28 tahun.

“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Penumpang warga Singapura yang turut parah di kepala disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Balveer Singh berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau merbahaya.

Sehubungan itu, polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes berkenaan supaya menghubungi dan menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Zulhisyam bin Aziz di talian 019-7432966.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top