United sasar lima terbaik dan UCL musim depan

United sasar lima terbaik dan UCL musim depan

London: Manchester: Manchester United menyasarkan kedudukan lima teratas Liga Perdana (EPL) musim depan, sasaran yang boleh membuka laluan ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL), sekali gus mengubat luka musim lalu yang menyaksikan mereka menamatkan saingan di tangga ke-15, kedudukan terburuk dalam sejarah kelab.

Penyerang Brentford, Bryan Mbeumo dijangka menyertai Matheus Cunha sebagai pemain baharu di Old Trafford, dengan skuad kini menyeru penyokong agar bersabar dengan proses pembinaan semula pasukan.

Pemain sayap muda, Amad Diallo menyatakan keyakinan terhadap pengendali baharu, Ruben Amorim dan percaya mereka mampu bangkit semula ke pentas Eropah.

“Musim yang baik bagi kami adalah menamatkan saingan dalam kelompok lima terbaik. Saya harap kami dapat mencapai sasaran itu kerana penyokong berhak untuk melihat kami berjaya.

“Mereka perlu bersabar. Kami ada pengurus baharu, pemain baharu dan taktikal baharu.

“Kami sedar musim lalu tidak begitu baik untuk pasukan, tetapi musim ini kami yakin akan mencatat banyak kemenangan bersamanya (Amorim), dan saya harap musim ini kami akan capai banyak perkara positif.

“Semua pemain menyokong pengurus dan berusaha menyesuaikan diri dengan sistemnya,” katanya.

Pemergian Marcus Rashford selepas 20 tahun bersama kelab dijangka mencetus gelombang keluar masuk pemain, dengan Antony dan Alejandro Garnacho turut berkemungkinan meninggalkan pasukan apabila Amorim mahu membina skuad yang lebih rapat dan bersatu.

Ditanya mengenai perpindahan Rashford, Diallo berkata: “Saya hanya mahu ucapkan semoga berjaya kepadanya, tetapi fokus saya sekarang hanyalah United dan pasukan ini.”

Mbeumo akan menyertai pasukan yang akan terbang ke Amerika Syarikat pada esok bagi menyertai Siri Musim Panas Liga Perdana Inggeris.

Pemain antarabangsa Cameroon itu dibeli dengan nilai perpindahan sebanyak £70 juta (RM425 juta) dari Brentford, dan Diallo tidak sabar untuk membentuk gandingan serangan bersama Mbeumo dan Cunha.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top