am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Walaupun cedera selepas dibentes seorang pemain bola sepak kebangsaan dalam perlawanan bola sepak Zurich Liga 7X7 All Stars 2025, di sini, kelmarin, pelakon, pengacara dan penyanyi Alif Satar, 34, tetap ‘bangga’ apabila bekas bintang Manchester United, Ryan Giggs datang berjumpanya selepas perlawanan.
Alif menganggap kejadian terbabit sebagai satu pengalaman yang sukar dilupakan apabila Giggs yang turut terbabit dalam perlawanan itu sempat bertanyakan khabar kepadanya selepas perlawanan.
“Kena ‘tackle’ dengan pemain bola sepak kebangsaan selepas itu Ryan Giggs pula datang ziarah, padu,” katanya dalam perkongsian di Instagram, semalam.
Alif berkata, hasil pemeriksaan mendapati ligamen Anterior Talofibular Ligament Rupture (ATFL) di bahagian kakinya koyak.
“Masa kena ‘tackle’ saya boleh dengar bunyi ‘crack’. Rupanya betul, ligamen ATFL koyak. Hari ini (Ahad) bengkak esok (hari ini) buat MRI (Magnetic Resonance Imaging),” katanya.
Pada masa sama, Alif turut bimbang dengan kecederaan itu kerana dia bakal menyertai acara larian berprestij, Berlin World Majors Marathon, beberapa minggu lagi.
Sementara itu, pengurusnya Dina ketika dihubungi Harian Metro berkata, Alif sedang berehat dan masih dalam proses pemulihan.
“Alif masih mendapat rawatan di hospital tetapi tidak dimasukkan ke wad. Dia juga dinasihatkan tidak banyak berjalan dalam tempoh dua hingga tiga hari ini,” katanya.
Selain Giggs, Zurich Liga 7X7 All Stars 2025′ itu turut menampilkan bekas bintang bola sepak dunia seperti John Terry dan Dimitar Berbatov serta bekas pemain kebangsaan, Safee Sali.
Ia turut disertai selebriti seperti pelakon, Hairul Azreen dan penyampai radio Hot FM, Khairy Jamaluddin dan Johan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



