Basikal TSG hanya untuk pelumba TSG, bukan dikongsi – Nasiruddin

Basikal TSG hanya untuk pelumba TSG, bukan dikongsi – Nasiruddin

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Terengganu Cycling Team (TSG) menegaskan mereka sememangnya mempunyai peralatan mencukupi termasuk basikal untuk ujian masa sekiranya barisan pelumba mereka terpilih mewakili negara ke Sukan SEA Thailand, Disember ini.

Namun, Ketua Pegawai Operasi (COO) TSG, Nasiruddin Wan Idrus menegaskan basikal berkenaan tidak boleh dipinjamkan kepada pelumba lain dalam skuad kebangsaan yang bukan dari pasukan TSG.

Jelas beliau, perkara itu berpunca daripada komitmen kontrak yang dimeterai pasukan benua UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) itu bersama penaja mereka.

“Kita belum tahu lagi siapa pelumba yang akan dipanggil ke Sukan SEA.

“Kami memang ada basikal ‘time trial’, tetapi ia hanya untuk kegunaan pelumba kami sahaja.

“Penaja berikan basikal itu untuk pelumba TSG, jadi kami tidak boleh kongsikan dengan pelumba dari pasukan lain yang dipanggil mewakili negara.

“Lagipun, basikal ini mempunyai saiz tertentu mengikut pelumba, jadi ia bukan mudah untuk dikongsi sesuka hati,” katanya.

Terdahulu, Majlis Sukan Negara (MSN) meminta Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk memilih sama ada mahu menghantar TSG atau Malaysia Pro Cycling (MPC) ke Sukan SEA di Thailand dari 9 hingga 20 Disember nanti.

MSN memaklumkan TSG sudah dilengkapi dengan basikal ‘time trial’ dan tidak memerlukan peruntukan tambahan untuk membeli basikal baharu.

Namun, PKBM tetap bertegas pemilihan pelumba ke Sukan SEA akan dibuat berdasarkan prestasi semasa, tanpa mengira pasukan asal pelumba terbabit.

Acara ujian masa individu dan berpasukan dijangka menjadi sandaran utama Malaysia untuk memburu pingat emas dalam acara lebuh raya lelaki di Sukan SEA kali ini.

Ini kerana tuan rumah, Thailand, memilih laluan mendaki dalam acara lepas beramai-ramai sebagai kelebihan buat pelumba mereka sendiri untuk menyapu pingat emas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top