Penyanyi bersuara lunak, Hafiz Suip akhirnya membuka kisah luka hidupnya apabila mengaku kegagalan mengawal amarah menjadi punca utama rumah tangga dan kehidupannya musnah sekelip mata.
Menurut Hafiz, 35, mengakui rasa amarah yang tidak terkawal telah membuatkan dirinya membuat keputusan-keputusan salah yang memberi penyesalan terbesar dalam hidupnya, termasuk kesan bersama insan tersayang.
“Amarah… itu punca utama hidup saya hancur. Itu bukan cara selesaikan masalah. Semua orang ada rasa marah, tapi kalau tak dikawal, semuanya boleh musnah,” luahnya dalam satu hantaran di Instagram.
Hafiz turut mengakui dia kini dalam fasa muhasabah diri dan belajar mengawal emosi demi masa depan yang lebih tenang.
“Allah beri kita rasa marah, itu fitrah. Tapi kita kena bijak uruskan. Saya belajar daripada kesilapan… kalau sesuatu perkara itu baik, saya teruskan. Kalau tidak, saya tinggalkan,” ujarnya.
Dalam perkongsian penuh emosi itu, Hafiz turut meluahkan rasa rindu yang mendalam terhadap dua anaknya yang kini berada bersama bekas isteri selepas mereka membawa haluan masing-masing.
“Setiap hari saya rindu anak-anak. Rasa nak telefon, nak dengar suara mereka. Tapi mereka sibuk dengan sekolah, jadual penuh. Saya pula jauh. Sekarang hanya mampu buat panggilan video, tanya khabar dan lihat wajah mereka dari skrin.
“Mak mereka yang selalu kemas kini keadaan mereka. Saya tahu, dia lebih layak jaga anak-anak. Saya hanya mampu berdoa agar mereka membesar dengan baik dan faham makna kehidupan kelak,” katanya.
Terdahulu, Hafiz mengesahkan rumah tangganya bersama isteri, Nureffy Jasreel Abdullah tidak dapat diselamatkan dan mereka kini dalam proses penceraian selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Pasangan ini berkahwin pada 14 Mei 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Muhammad Riyadh Zafri, 8, dan Muhammad Alkaf Zayna, 5 tahun.



