Kuala Lumpur: Dua universiti awam negara, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), terus mengharumkan nama Malaysia apabila tersenarai dalam kelompok tujuh universiti terbaik dunia menerusi Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2026.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, USM melonjak ke kedudukan kelima dunia, manakala UKM berada di tangga ketujuh daripada lebih 1,600 universiti yang dinilai berdasarkan sumbangan terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Beliau berkata USM turut mengekalkan kedudukan nombor satu dunia bagi SDG 17: Perkongsian Demi Matlamat, sekali gus membuktikan keupayaan universiti Malaysia memimpin kerjasama strategik di peringkat global.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa universiti-universiti Malaysia bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan penyelidikan, malah memberi impak besar kepada pembangunan masyarakat serta agenda kemampanan dunia,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Zambry turut merakamkan tahniah kepada kepimpinan universiti, ahli akademik, penyelidik, staf dan pelajar atas kejayaan berkenaan.
“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk kita terus memperkukuh kecemerlangan pendidikan tinggi negara dan meletakkan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf dunia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




