Selepas mencipta fenomena luar biasa menerusi debut single ‘Mona Lisa (Bang Bang)’, kumpulan baharu yang dianggotai oleh tujuh anak muda iaitu, Alpha meneruskan momentum mereka dengan melancarkan single kedua berjudul ‘P. Ramlee & Saloma’.
Diterbitkan sepenuhnya di bawah Rocketfuel Entertainment, lagu ini merupakan hasil kolaborasi hebat antara tiga komposer berbakat iaitu, Justin Seow, Mohsein Kush dan RFE.
Berbeza dengan single pertama mereka, ‘P. Ramlee & Saloma’ tampil dengan balada penuh emosi, sekaligus memperlihatkan sisi lebih matang dan mendalam dari segi muzik.
Lagu ini bukan sekadar sebuah karya, malah menjadi manifesto artistik bagi Alpha.
Perjalanan tujuh ahli kumpulan yang dianggotai oleh Ariel, Izat, Daniel, Rizal, Araff, Ray-D dan Sky ini dipilih menerusi kriteria vokal, gaya, karisma dan personaliti unik ahli kumpulan ini yang bakatnya mula digilap menerusi program realiti Big Stage Alpha, sebuah spin-off daripada rancangan popular Big Stage yang kali ini memfokuskan sepenuhnya kepada peserta lelaki.
Single Mona Lisa Catat Lebih 250, 000 Tontonan
Single pertama mereka, ‘Mona Lisa (Bang Bang)’ merupakan lagu pop moden penuh bertenaga dengan elemen K-pop yang turut dihasilkan oleh Justin Seow, Kuizz, James Chaw, Sean Lew, Roland Lim Shi Jie, Tyler Sarfert dan Prem Anand.
Muzik video rasmi yang dilancarkan pada 6 Julai lalu itu kini telah mencatat lebih 250 ribu tontonan di YouTube, sekali gus membuktikan keupayaan mereka mencuri perhatian dalam tempoh singkat.
Menurut Ketua Rocketfuel Entertainment, Sher Leen Wee, pelancaran kumpulan Alpha adalah sebagai bukti komitmen mereka dalam melahirkan bintang serantau berkualiti global.
“Kami percaya bahawa bakat dari Asia Tenggara wajar diketengahkan dalam acuan sendiri.
“Alpha membuktikan bahawa dengan platform dan bimbingan yang betul, kita mampu melahirkan bintang bertaraf antarabangsa,” katanya.
Single ‘P. Ramlee & Saloma’ kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music.
Video muzik rasmi lagu ini juga bakal menemui peminat tidak lama lagi di saluran YouTube @RocketFuelNetwork.




