farahmarshita@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kurang setengah jam Dewan Rakyat bersidang pada hari kedua, isu lawatan tidak rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perancis yang dibangkitkan parti pembangkang, mula menghangatkan suasana dewan.
Terdahulu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) menekankan perkataan “tidak rasmi sangat” ketika mengucapkan tahniah atas lawatan yang dijalankan oleh Perdana Menteri awal bulan ini.
“Tahniah dan syabas kepada Yang Berhormat Tambun dalam lawatan yang tidak rasmi sangat ke Perancis dan Itali sudah meraih potensi pelaburan berbilion Ringgit,” katanya.
Mendengar perkara itu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mohon mencelah untuk membetulkan kenyataan Ronald.
“Bagi laluan sikit, saya nak respon, lawatan tak rasmi, bukan lawatan tidak rasmi sangat,” katanya.
Ronald kemudian menyatakan bahawa Mohamad semalam memaklumkan bahawa lawatan Perdana Menteri ke Itali dan Perancis adalah tidak rasmi sangat.
“Selalunya Kementerian Luar, ada lawatan rasmi atau lawatan tidak rasmi, tapi semalam Menteri Luar kata lawatan tidak rasmi sangat,” katanya.
Mohamad kemudian mohon supaya rekod hansard Dewan Rakyat diperbetulkan ke lawatan tidak rasmi memandangkan perjalanan Perdana Menteri ke Brazil adalah atas jemputan ke dua-dua pemimpin.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul menyatakan bahawa pembetulan itu diterima.
© New Straits Times Press (M) Bhd