am@hmetro.com.my
Kuala Langat: Penunggang dan pembonceng motosikal maut selepas digilis lori dalam kemalangan di Kilometer 48, Jalan Klang-Banting-Port Dickson, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, dalam kejadian jam 8.20 malam, kedua-dua lelaki warga tempatan berusia 20-an itu meninggal dunia di lokasi kejadian.
Beliau berkata, hasil siasatan awal polis mendapati motosikal dinaiki kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Tanjung Sepat ke Morib.
“Setibanya di lokasi, penunggang dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.
“Pada masa sama, lori dipandu seorang lelaki berusia 30-an berada di laluan sama bertembung dengan motosikal itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Akmalrizal berkata, akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa bersama motosikal terperosok di bawah lori dan digilis tayar kenderaan berat terbabit.
Beliau berkata, pemandu lori tidak mengalami kecederaan.
“Mayat dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd