Allianz Malaysia jangka bayar pampasan lebih RM200j tahun ini

Allianz Malaysia jangka bayar pampasan lebih RM200j tahun ini

KUALA LUMPUR: Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) menjangkakan membayar pampasan insurans melebihi RM200 juta tahun ini, didorong oleh peningkatan ketara dalam statistik kemalangan jalan raya khususnya membabitkan penunggang motosikal.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Sean Wang berkata, syarikat masih mencatatkan keuntungan meskipun pembayaran pampasan meningkat, namun menegaskan syarikat tidak hanya berperanan sebagai penyedia pampasan semata-mata.

“Kami bukan sekadar tunggu untuk membayar pampasan. 

“Apabila data menunjukkan peningkatan kecacatan kekal dan kematian, kita tak boleh hanya duduk diam. Kita kena buat sesuatu,” katanya kepada pemberita selepas Forum Media Allianz Malaysia di sini. 

Dalam usaha menangani isu tersebut, Allianz melancarkan program kesedaran dan pendidikan termasuk latihan kecemasan untuk penunggang motosikal, merangkumi kemahiran seperti bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR), rawatan luka dan pengendalian kecederaan patah anggota.

Selain itu, Allianz turut memperkenalkan produk baharu insurans motosikal di bawah inisiatif ‘Rahmah Motorcycle Plus’ yang menawarkan perlindungan lebih menyeluruh tanpa bayaran tambahan, selaras dengan usaha membantu golongan B40.

“Premium bagi pelan tersebut bermula serendah RM100 setahun dan termasuk perlindungan terhadap kemalangan, banjir serta bantuan tepi jalan.

“Kami mahu perluas perlindungan dengan cara yang lebih bermakna, bukan semata-mata bersaing dari segi harga. Niat utama ialah untuk melindungi rakyat, terutamanya mereka yang paling terdedah,” katanya.

Setakat November tahun lalu, Allianz mencatatkan lebih daripada 5,900 kes kemalangan melibatkan pemegang polisi motosikal dengan angka dijangka terus meningkat tahun ini. 

Allianz turut menjangkakan peningkatan pembelian insurans motosikal susulan perluasan liputan dan kesedaran pengguna.

Dalam majlis itu, Allianz bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan platform p-hailing iaitu foodpanda Malaysia, Lalamove Malaysia dan Grab Malaysia menekankan kepentingan keselamatan penunggang terutamanya dalam industri p-hailing yang berkembang pesat di negara ini. 

Inisiatif ini menekankan tanggungjawab bersama dalam melindungi pihak berkaitan termasuk agensi kerajaan, badan korporat, penunggang p-hailing dan masyarakat umum untuk melindungi dan menyokong kesejahteraan pekerja.

Forum Media Allianz Malaysia 2025 diadakan bersama pihak berkepentingan dalam industri berkumpul untuk membincangkan cabaran yang dihadapi oleh penunggang p-hailing dan meneroka strategi kolaboratif untuk ekosistem penghantaran yang lebih selamat. 

Forum ini menekankan peranan penting penunggang p-hailing dan kepentingan strategi keselamatan menyeluruh untuk menyokong mereka industri p-hailing, yang merangkumi penghantaran makanan dan bungkusan yang telah mencatatkan peningkatan sejak beberapa tahun yang lepas. 

Ini didorong oleh permintaan yang tinggi untuk penghantaran yang mudah dan cekap yang telah menyoroti menyoroti keselamatan penunggang p-hailing, yang sering terdedah kepada risiko kemalangan jalan raya.

Sebagai peneraju dalam perlindungan, Allianz Malaysia menyatakan komitmennya dalam menambah baik keselamatan penunggang melalui kerjasama strategik. 

Forum Media Allianz Malaysia 2025 menampilkan perbincangan panel dengan wakil dari MIROS dan platform p-hailing terkemuka, termasuk Lalamove Malaysia, foodpanda Malaysia dan Grab Malaysia. – UTUSAN

Scroll to Top