am@hmetro.com.my
Kepala Batas: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) memperuntukkan RM13.5 juta bagi membina dan membaik pulih 293 rumah asnaf menerusi inisiatif Program Sinar Lestari di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Na’im Mokhtar, berkata sehingga kini sebanyak 225 projek pembinaan dan baik pulih rumah siap sepenuhnya manakala bakinya iaitu 68 masih dalam proses.
Katanya, peruntukan yang disalurkan bagi projek pembinaan dan baik pulih itu adalah melalui hasil sumbangan orang awam kepada Tabung Amanah YAPEIM.
“Rumah yang kita serahkan ini (sama ada) bina rumah, baiki rumah, ini adalah dari Tabung Pembangunan YAPEIM, hasil daripada sumbangan yang diberikan orang awam.
“Jadi, lagi ramai masyarakat yang menyumbang ke dalam tabung ini, lagi banyak YAPEIM dengan kerjasama ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) dan pejabat pembangunan negeri akan dapat membantu golongan asnaf serta golongan yang memerlukan bantuan.
“Jadi saya merayu dan mengharapkan masyarakat di luar sana untuk terus menyumbang ke dalam tabung amanah YAPEIM ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan rumah kepada tiga penerima di bawah program Sinar Lestari YAPEIM yang turut dihadiri Ketua Pengarah YAPEIM, Zabidi Nasan di Pasir Gebu, Penaga, di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang pesara tentera, Tahir Suhid, 55 yang menerima bantuan membina rumah bersyukur apabila dapat mendiami kediaman sendiri selepas 15 tahun menyewa.
“Saya ada beli sebidang tanah lot ketika berkhidmat sebagai anggota tentera tetapi tidak ada modal untuk bina rumah. Apabila bersara saya hanya menyara keluarga dengan turun ke laut sementara isteri pula berniaga goreng pisang secara kecil-kecilan.
“Kini, saya gembira dan bersyukur dengan bantuan YAPEIM yang membantu membina rumah, saya tidak perlu lagi menyewa,” katanya yang mempunyai lima anak berusia enam hingga 25 tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




