Segarkan industri perikanan negara

Segarkan industri perikanan negara

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Negara perlu melatih dan melahirkan lebih ramai tekong dan awak-awak tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada warga asing dalam mengisi tugas berkenaan.

Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) menyarankan kerajaan menyediakan lebih banyak pusat latihan dengan teknologi terkini selain pemberian insentif bagi menarik minat golongan muda bekerja di sektor perikanan.

Pengerusinya, Abdul Hamid Bahari, berkata kekangan kemahiran laut dalam dan kurangnya minat dalam kalangan orang tempatan menceburkan diri secara tidak langsung membuka ruang dan peluang kepada orang luar terutamanya tekong dan awak-awak Thailand, Vietnam dan Kemboja.

“Kerajaan perlu main peranan untuk pulihkan keadaan ini, kita kurang kemahiran kalau nak dibanding dengan negara jiran. Pusat latihan yang ada di bawah Jabatan Perikanan tidak mencukupi, kurang sambutan dan lesu.

“Kerajaan perlu main peranan untuk ‘segarkan’ kembali sektor perikanan, beri insentif untuk tarik minat golongan muda, bimbing mereka dengan latihan dan teknologi baharu selain elaun bulanan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, media melaporkan kerajaan diharap melonggarkan syarat kemasukan awak-awak dari Thailand, Vietnam dan Myanmar bagi membolehkan ratusan bot laut dalam yang tidak beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) digerakkan semula.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, dilaporkan berkata bot berkenaan juga berupaya menghalang bot asing mengaut hasil lautan negara seperti berlaku di Terengganu, baru-baru ini.

Selain itu Abdul Hamid berkata, kerajaan juga boleh mempertimbang pemberian kemudahan pinjaman kepada mereka yang mungkin mahu memiliki bot sendiri dan kelengkapan lain.

“Maknanya bukan sahaja kena didik mereka jadi profesional di lautan, tapi bagaimana nak didik untuk turut mahir dalam perniagaan, boleh beli bot dan kelengkapan lain, ada kumpulan sendiri untuk operasi menangkap ikan.

“Bagi nak tarik minat, ketengahkan nelayan yang sudah berjaya, ramai juga nelayan jadi jutawan, boleh kongsi cerita kejayaan itu sebagai penyuntik semangat golongan muda,” katanya.

Tambahnya, kesan pandemik COVID-19 menyebabkan keperluan tekong dan awak-awak laut dalam meruncing malah ada pengusaha atau pemilik bot yang gulung tikar.

“Kalau tengok statistik Jabatan Perikanan sebelum ini kita ada lebih kurang 37,000 tekong, awak-awak warga asing seluruh negara sebelum pandemik, tapi yang tinggal sekarang dalam 2,000 hingga 3,000 orang.

“Sekarang hendak bawa masuk warga asing juga kos tinggi, satu kepala perlu keluar modal dalam RM7,000 hingga RM8,000 untuk pasport , permit kerja selain kos untuk kuarantin, ini pun beri bebanan kepada pengusaha.

“Sebab kekangan ini juga menyumbang kepada faktor peningkatan import ikan ke dalam negara, selain masalah pencerobohan nelayan asing,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top