Lelaki maut tersepit, trafik PLUS sesak 3 km

Lelaki maut tersepit, trafik PLUS sesak 3 km

am@hmetro.com.my

Alor Gajah: Aliran trafik sesak sejauh tiga kilometer di kedua-dua arah selepas sebuah lori terbabit dalam kemalangan maut berhampiran Plaza Tol Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Simpang Ampat arah utara, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, seorang lelaki berusia 40 tahun maut selepas tersepit dalam kemalangan membabitkan lori jenis Isuzu tiga tan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.04 petang sebelum jentera tiba di lokasi jam 4.28 petang.

Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba, namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kemalangan melibatkan kenderaan berat itu menyebabkan aliran trafik mengalami kesesakan tiga kilometer di kedua-dua arah sementara kerja penyelamatan dan pengurusan kemalangan dijalankan.

“Operasi dikawal pada jam 4.54 petang dan tamat sepenuhnya pada jam 5.55 petang sebelum anggota serta jentera kembali ke balai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, operasi membabitkan seramai tujuh anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah dengan bantuan BBP Ayer Keroh dan turut dibantu anggota KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top