am@hmetro.com.my
Besut: Malaysia selaku Pengerusi ASEAN menyarankan mekanisme Thailand-Cambodia General Border Committee (GBC) digunakan bagi mencari jalan penyelesaian membabitkan dua negara yang bergolak.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata, biar jawatankuasa kawalan sempadan berkenaan berunding terlebih dahulu.
“Berunding dahulu cari jalan penyelesaian….biar mereka (jawatankuasa ini) buat kenyataan.
“Maka kedua-dua pemimpin ini akan menyambut baik cadangan dan keputusan daripada jawatankuasa berkenaan.
“Saya cadangkan supaya rundingan ini dibuat serentak kerana setiap negara mempunyai kekuatan masing-masing serta tidak mahu mengalah,” katanya pada Mesyuarat UMNO Bahagian Besut di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) di Gong Kemuntong, di sini, hari ini.
Katanya, sebelum ini beliau sudah berhubung dengan rakan sejawat dari dua negara berkenaan melalui dalam talian meminta segera menyelesaikan konflik berkenaan menggunakan saluran dialog serta diplomatik.
“Namun konflik itu hanya reda seketika sebelum pertempuran kembali berlaku pada awal bulan ini.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menghubungi rakan sejawat beliau di Kemboja serta Thailand dan masing-masing setuju untuk membuat genjatan senjata.
“Namun ketegangan di peringkat bawah masih kuat dan genjatan senjata sepatutnya pada jam 12 malam 12 Julai tidak dapat dikuatkuasakan,” katanya.
Katanya, konflik dua negara berkenaan tidak membabitkan rakyat Malaysia.
“Kita hanya kuatkuasakan larangan rakyat Malaysia dari masuk ke kawasan bermasalah bukan larangan ke negara Kemboja dan Thailand.
“Kedua-dua Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh, Kemboja serta Bangkok, Thailand sentiasa membuka talian untuk membantu rakyat Malaysia di sana,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd