Jerez de la Frontera: Pelumba tuan rumah, Marc Marquez, meraih petak utama pada aksi Spanish MotoGP dalam sesi kelayakan basah yang mencabar di Jerez, hari ini.
Juara bertahan itu mencatat masa terpantas 1 minit 48.087 saat untuk menewaskan pelumba Honda, Johann Zarco, dengan kelebihan 0.140 saat, manakala Fabio Di Giannantonio di tempat ketiga, lebih satu saat di belakang.
Adiknya, Alex Marquez, yang terpantas dalam sesi latihan semalam gagal mengulangi prestasi sama selepas terjatuh di selekoh kesembilan, namun masih bangkit menamatkan sesi di tempat kelima.
Dia akan memulakan perlumbaan di barisan kedua bersama pendahulu keseluruhan, Marco Bezzecchi dari Aprilia serta pelumba KTM, Pedro Acosta.
“Dalam keadaan kering semalam, Alex berada selangkah di depan, tetapi dalam keadaan basah, saya lebih selesa kerana perlu kawal rentak tanpa terlalu memaksa,” kata Marc.
Ini adalah petak utama pertama Marc sejak Grand Prix Hungary pada Ogos 2025.
Sesi kelayakan itu turut menyaksikan Jorge Martin dan Fermin Aldeguer terjatuh, manakala beberapa pelumba lain termasuk Franco Morbidelli dan Jack Miller turut mengalami insiden dalam Q1.
Perlumbaan pecut dijadual berlangsung lewat hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




