mdroji@bh.com.my
Kuching: Seorang pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis tiga kali seminggu dipindahkan dari Long Lellang, Baram ke Miri menerusi operasi pemindahan perubatan (MEDEVAC) menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), hari ini.
Operasi itu dilaksanakan susulan penutupan sementara STOLport Long Lellang selama dua hari bagi memberi laluan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan di lokasi nahas helikopter pada 8 September lalu.
JBPM dalam kenyataan malam ini memaklumkan pihaknya menerima panggilan daripada Pejabat Residen Bahagian Miri mengenai keadaan pesakit terbabit, Renai Iwat, yang memerlukan rawatan susulan di Hospital Miri mengikut jadual ditetapkan.
Justeru khidmat khas pesawat Mi-171 diketuai TPgB I Ahmad Fissol Ismail bersama lapan anggota unit udara lain digunakan dalam operasi berkenaan.
Pesakit diterbangkan dari STOLport Long Lellang ke Miri sebelum diserahkan kepada ambulans Hospital Miri untuk tindakan dan rawatan selanjutnya.
Operasi itu turut membabitkan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Hospital Miri dan Klinik Kesihatan Long Lellang.
Operasi penerbangan itu tamat pada jam 12.12 tengah hari, bagaimanapun berdepan keadaan jerebu dan awan tebal dengan jarak penglihatan dilaporkan kurang daripada lima kilometer.
© New Straits Times Press (M) Bhd
