am@hmetro.com.my
Arau: Selepas Padang Besar dan Kangar, kemelut politik BERSATU Perlis semakin meruncing apabila sebahagian kepimpinan BERSATU Bahagian Arau pula mengumumkan keluar parti berkuat kuasa malam ini.
Tindakan peletakan jawatan itu membabitkan 10 daripada 26 ketua cawangan, berserta sebahagian besar Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian.
Turut mengumumkan peletakan jawatan adalah Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Arau, Azrul Azhar Abd Ghani; Naib Ketua Bahagian, Som Bun Crem; Ketua Srikandi Bahagian, Nor Azida Mohd Azmi; Ketua Srikandi Muda, Zurin Zainon dan Naib Ketua Armada, Ahmad Safarin Ishak.
AJK BERSATU Bahagian Arau, Roshita Buyong berkata, ketetapan itu diambil susulan rasa tidak puas hati terhadap pucuk pimpinan pusat parti berhubung pelantikan pengerusi negeri yang baharu.
“Kami tidak bersetuju dengan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi, Izizam Ibrahim sebagai Pengerusi BERSATU Perlis kerana ia dibuat tanpa sebarang perbincangan dengan kepimpinan di peringkat akar umbi terlebih dulu.
“Namun, harus dijelaskan bahawa tindakan keluar parti ini disasarkan sebagai protes terhadap keputusan pimpinan pusat, dan bukannya satu bentuk permusuhan terhadap peribadi Izizam,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Bagaimanapun, tindakan pengunduran itu tidak membabitkan Ketua BERSATU Bahagian Arau, Wan Zaidin Afthar Ishak.
Turut mengambil pendirian untuk kekal bersama parti di bahagian berkenaan adalah Setiausaha Bahagian, Wan Zikri Afthar Ishak dan Megat Hashirat Hassan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
