am@hmetro.com.my
Ranau: Selepas lima hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang mencabar, pendaki warga Croatia yang terjatuh di Gunung Kinabalu akhirnya selamat dibawa turun ke Pintu Timpohon, malam ini.
Mangsa, Mauro Persic, 46, tiba di Pintu Timpohon pada jam 7.06 malam sebelum diberikan rawatan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba Rantey Fred berkata, mangsa mengalami kecederaan pada kaki dan tulang rusuk kanan, selain luka ringan di tangan.
Menurutnya, operasi membawa turun mangsa disambung pada jam 7.07 pagi menerusi laluan sejauh kira-kira dua hingga tiga kilometer yang mencabar dan sukar.
“Pasukan SAR membawa mangsa secara berperingkat sehingga tiba di Platform Kilometer 6.5 pada jam 3.21 petang.
“Proses membawa mangsa dari Panalaban ke Pintu Timpohon kemudian dilakukan menggunakan kaedah dukung dengan bantuan alat ‘body harness carrier’,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Rantey berkata, operasi turut berdepan hujan ketika pasukan bersama mangsa berada kira-kira 1.8 kilometer dari Platform Kilometer 6.5.
Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Ranau menggunakan ambulans KKM pada jam 7.22 malam dengan diiringi kenderaan polis untuk rawatan lanjut.
“Kesemua anggota SAR turut tiba di Pintu Timpohon dalam keadaan selamat dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8 malam,” katanya.
Operasi itu membabitkan 43 anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), ParkSAR, malim gunung, porter serta renjer yang dibahagikan kepada lima pasukan.
Mangsa dilaporkan terjatuh di kawasan tebing curam Gunung Kinabalu, Sabtu lalu sebelum operasi SAR dilancarkan susulan panggilan kecemasan pada jam 5.10 petang.
© New Straits Times Press (M) Bhd
