PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu diberikan ruang untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, 13, agar dijalankan secara telus dan adil.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberi jaminan sekali lagi bahawa siasatan kes kematian, pelajar itu akan dijalankan secara telus dan adil.
Justeru beliau meminta semua pihak memberi ruang kepada PDRM untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung kes itu
“Kita menyerahkan sepenuhnya kepada PDRM untuk menjalankan siasatan itu.
“Kita juga memberi sepenuh komitmen bagi memastikan siasatan itu berlangsung dengan adil,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri Ke-50 2025 di sini, hari ini.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan tindakan susulan berasaskan undang-undang sedia ada, selepas siasatan itu selesai.
Fadhlina turut menegaskan, pihaknya tidak memandang remeh mana-mana kes membabitkan warga KPM.
Malah ketika ini, katanya, KPM sudah memulakan beberapa intervensi krisis, termasuk sokongan psikologi dan emosi kepada warga sekolah serta keluarga mangsa.
“Kita juga mendapat pertolongan penuh daripada Kementerian Kesihatan (KKM) yang memberi tumpuan kepada aspek psikoemosi keluarga dan warga sekolah terbabit,” katanya.
Zara Qairina dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya pada awal pagi 17 Julai lalu.
Ibunya, Noraidah Lamat, 45, yang juga seorang guru, merayu agar siasatan terhadap kematian anak tunggalnya itu dijalankan secara telus, adil dan saksama, susulan dakwaan mangsa menjadi mangsa buli. – UTUSAN