Kerajaan MADANI tidak pernah keluarkan lesen perjudian baharu – MOF

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Kerajaan MADANI tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen atau permit perjudian baharu, termasuk bagi menambah bilangan premis perjudian di negara ini.

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, jumlah lesen dan permit perjudian yang berkuat kuasa ketika ini kekal berdasarkan jumlah kelulusan lesen sedia ada sejak 1990-an.

“Merujuk kenyataan Menteri Besar Kedah berkaitan isu lesen judi di Kedah yang dilaporkan media baru-baru ini, kenyataan terbabit jelas mengelirukan.

“Ia memberi gambaran seolah-olah Kerajaan MADANI tidak mengawal aktiviti perjudian atau meluluskan lesen baharu bagi menambah bilangan premis perjudian di negeri berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan ketika ini, mempunyai kuasa memutuskan sama ada membenarkan aktiviti perjudian di Kedah atau menghalangnya.

Ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan kebenaran merayu berkaitan keputusan Mahkamah Rayuan mengenai dasar tidak memperbaharui lesen perniagaan perjudian.

“Sekarang bola sudah tertendang kepada MOF (Kementerian Kewangan), mereka yang akan tentukan tendang jaring gol atau (masuk) gol sendiri.

“Kelulusan lesen judi kini terletak di Menteri Kewangan, Menteri Kewangan yang bertanggungjawab tidak meluluskan lesen judi di Kedah,” kata Muhammad Sanusi seperti dilaporkan media.

Mengulas lanjut, MOF berkata, kementerian itu sememangnya menetapkan syarat yang ketat kepada pemegang lesen.

“Kerajaan MADANI terus mengambil pendekatan tegas dan bertanggungjawab dengan mengehadkan aktiviti perjudian berlesen, memastikan kawal selia yang ketat serta memperhebat tindakan terhadap perjudian tanpa lesen dan perjudian dalam talian,” katanya.

Dalam pada itu, MOF menjelaskan bahawa sepanjang tempoh pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada 2020 hingga 2022 yang turut merangkumi PAS, tidak pernah ada sebarang usul atau keputusan untuk mengharamkan aktiviti perjudian berlesen di seluruh negara atau memansuhkan lesen sedia ada.

Menurut MOF, berdasarkan rekod, Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan pada 2020 memutuskan untuk menurunkan bilangan cabutan khas daripada 22 kepada lapan kali setahun.

Bagaimanapun, kata MOF, Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional dan Barisan Nasional pada 2020 memutuskan untuk meningkatkan atau mengembalikan semula kekerapan cabutan khas kepada 22 kali setahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top