am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Ribuan pengunjung membanjiri Padang B, Angsana Johor Bahru Mall di sini, malam ini, bagi menyaksikan kemuncak malam pertama Konsert Jom Heboh (KJH) Johor Bahru 2026 yang berlangsung penuh meriah.
Seawal jam 7 malam, perkarangan hadapan pentas utama mula dipenuhi pengunjung yang hadir bersama ahli keluarga dan rakan-rakan sebelum sorakan gemuruh memecah suasana sebaik konsert bermula tepat jam 9 malam.
Kemuncak tirai malam pertama konsert turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Operasi (COO) Media Prima OMNiA, Datuk Mohd Efendi Omar.
Konsert malam pertama ini dikendalikan gandingan pengacara, Amirulhakim Lokman dan Haiza Kool FM, yang berjaya menghidupkan suasana dengan gaya penyampaian cukup bersahaja.
Malah Haiza turut membuka pentas konsert dengan lagu popularnya, Dag Dig Dug sebelum menyampaikan dua lagi lagu.
Pentas utama terus dimeriahkan dengan persembahan bertenaga daripada barisan artis terkemuka tanah air seperti Haqiem Rusli, Bunga Isme, Khai Bahar, Nabila Razali serta Ara Johari yang mendendangkan lagu-lagu hits masing-masing.
Selain menyaksikan konsert secara langsung selama dua jam di tapak karnival, penganjur turut menyediakan platform Tonton bagi peminat muzik tanah air yang tidak berpeluang ke KJH di Johor Bahru.
Menerusi platform Over-The-Top (OTT) Tonton, penonton boleh menikmati penstriman langsung eksklusif format Pay-Per-View (PPV) yang memberikan pengalaman tontonan berkualiti tinggi terus ke peranti mudah alih atau skrin TV masing-masing.
Dengan hanya RM3 bagi pas strim langsung dua hari, peminat muzik di seluruh Malaysia berpeluang menyaksikan persembahan malam ini serta esok.
Konsert malam esok bakal menampilkan Mamat Exist, Alyph, Wany Hasrita, Drama Band dan Mariam Saim.
© New Straits Times Press (M) Bhd




