Perdana Menteri serah surat lulus peruntukan RM250 juta bina KB Sentral

Perdana Menteri serah surat lulus peruntukan RM250 juta bina KB Sentral

KOTA BHARU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan surat lulus peruntukan RM250 juta bagi pembinaan Terminal Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral (KB Sentral) kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Anwar berkata, peruntukan itu diluluskan bagi memastikan kemudahan pengangkutan bas di Kelantan turut diberi perhatian selain lapangan terbang.

“Terminal bas ini, tak baiki lagi. Lapangan terbang dah ada, jadi saya luluskan KB Sentral dan baru hantar surat kepada Menteri Besar.

“Kami luluskan bukan RM250,000, tapi RM250 juta ringgit,” katanya ketika berucap pada Majlis Sebarkan Salam Kota Bharu Berselawat di Dataran Muhammadi di sini sini pada Sabtu.

Turut hadir, Mohd Nassuruddin.

Anwar (tengah) bergambar dengan seluruh hadirin pada majlis selawat di Kota Bharu. 

Anwar (tengah) bergambar dengan seluruh hadirin pada majlis selawat di Kota Bharu. 

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan dakwaan bahawa Kerajaan Madani tidak membantu Kelantan adalah tidak benar selain menghargai keterbukaan Menteri Besar negeri itu dalam menyuarakan keperluan negeri.

“Saya nak ucap terima kasih sebab Menteri Besar, dia sahabat dan berterus-terang. Setengah-setengah orang ada menafikan, kata Kerajaan Madani tidak tolong, sama sekali tak betul.

“Menteri Besar Kelantan ni pula orang baik. Kalau ada Menteri Besar yang bengkeng, mungkin saya tidak akan luluskan dengan cepat,” katanya berseloroh.

Scroll to Top