Paris: Bintang berbasikal Slovenia, Tadej Pogacar mengakui bersyukur masih bernyawa selepas nahas ketika perlumbaan Vuelta a Espana menamatkan musimnya, dengan pemeriksaan susulan mendedahkan dia sebenarnya mengalami tiga keretakan tulang belakang.
Juara Tour de France lima kali itu pada awalnya disahkan mengalami keretakan tulang leher dan tulang selangka, namun imbasan tomografi berkomputer (CT) di negara kelahirannya kemudian mengesan dua lagi kecederaan pada vertebra T1 dan T2.
“Sebenarnya ada cerita menarik. Dua minggu lalu, saya berada di Slovenia dan menjalani satu lagi imbasan CT. Saya tahu mengalami keretakan C7, tetapi kemudian kami mendapati dua lagi tulang belakang saya patah, iaitu T1 dan T2.
“Ketika itu, saya bersyukur tidak menyertai Kejohanan Eropah yang pada awalnya menjadi sasaran saya. Apabila mengetahui tiga tulang belakang patah, saya benar-benar bersyukur masih hidup atau sekurang-kurangnya masih mampu berdiri,” katanya kepada The Athletic dalam temu bual yang diterbitkan Sabtu.
Pogacar berkata, keadaannya kini semakin pulih dan dia sudah kembali menjalani kehidupan hampir seperti biasa, meskipun masih perlu berhati-hati sepanjang proses pemulihan.
“Saya tidak lagi berasa tidak selesa. Saya perlu berhati-hati supaya tidak terjatuh ketika menunggang basikal atau mengangkat beban berat menggunakan lengan kiri dan leher. Namun, pada asasnya saya sudah boleh melakukan hampir semua perkara seperti biasa,” katanya.
Bagaimanapun, pelumba berusia 28 tahun itu mengakui tempoh awal selepas kemalangan berkenaan amat sukar apabila gegaran otak menyebabkan dia mengalami pening, loya dan masalah koordinasi sehingga tidak mampu menguruskan rutin harian sendiri.
“Saya perlu dimandikan dengan bantuan doktor pasukan. Saya tidak mampu mandi sendiri kerana akan pening sebaik berdiri atau menundukkan kepala. Keadaan saya ketika itu benar-benar teruk dan sangat sukar,” katanya.
Pogacar turut mendedahkan proses pemulihannya lebih perlahan dan mencabar dari sudut mental berbanding jangkaan, terutama selepas menjalani pembedahan.
“Pembedahan itu mengambil masa satu jam 40 minit. Apabila saya sedar daripada bius, doktor cuba bergurau, tetapi saya langsung tidak dapat menerimanya. Saya benar-benar murung selepas pembedahan.
“Untuk dua minggu pertama, keadaan mental saya tidak baik. Saya sangat tertekan dan bukan individu yang menyenangkan untuk berada di sekeliling,” katanya.
Bagaimanapun, keadaan emosinya mula bertambah baik apabila dia kembali menjalani proses rehabilitasi dan latihan menggunakan basikal statik di rumah.
“Apabila mula menggunakan basikal statik di rumah dan menjalani fisioterapi setiap hari, saya mula berasa lebih baik, termasuk dari segi mental. Namun, setiap hari adalah satu perjuangan,” katanya.
Walaupun doktor mengklasifikasikan keretakan tulang lehernya sebagai stabil, Pogacar mengakui risiko jika kembali terbabit dalam kemalangan ketika berbasikal tetap membimbangkan.
“Jika saya terjatuh sekali lagi ketika menunggang basikal sekarang, ia boleh mendatangkan masalah besar. Semua orang berkata saya bernasib baik dan memang kita bertuah jika selepas kemalangan masih mampu berjalan serta berada dalam keadaan baik.
“Namun, apabila melihat betapa seriusnya kecederaan ini, ia bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan. Sejujurnya, agak menakutkan apabila memikirkannya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




