am@hmetro.com.my
Pasir Mas: Institusi pondok perlu diperkasa dan dinaik taraf ke peringkat universiti bagi memastikan ia terus relevan dalam memenuhi keperluan masyarakat yang semakin berkembang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, sistem pendidikan Islam tradisional itu tidak seharusnya dipinggirkan, sebaliknya perlu disesuaikan dengan perkembangan semasa tanpa mengabaikan peranan asasnya dalam memelihara akidah dan membentuk sahsiah umat Islam.
Katanya, institusi pondok sejak sekian lama berperanan sebagai benteng pertahanan umat Islam, khususnya dalam mempertahankan akidah, nilai moral dan penguasaan ilmu.
“Institusi ini boleh diubah suai dan ditambah baik, namun kita perlu memastikan sistem pendidikannya berkembang ke tahap lebih tinggi, termasuk mencapai taraf universiti.
“Kita juga perlu menguasai bidang ilmu baharu, khususnya dalam dakwah dan pendidikan, jika mahu terus maju serta mengelakkan negara daripada ketinggalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan ringkas selepas menunaikan solat Maghrib bersama lebih 200 penduduk di Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah, berhampiran Pondok Lubuk Tapah, di sini, hari ini.
Anwar berkata, perubahan zaman menuntut institusi pendidikan Islam menyesuaikan pendekatan dengan keadaan semasa, namun pada masa sama terus berpegang kepada prinsip serta panduan ulama.
Beliau menegaskan usaha memodenkan institusi pondok tidak bermakna identiti tradisional atau asas keagamaannya perlu diketepikan.
Katanya, pihak yang terbabit dalam pengurusan institusi pondok supaya memanfaatkan sepenuhnya ilmu yang diajar di institusi berkenaan dan memastikan ia memberi manfaat kepada masyarakat secara lebih meluas.
“Selagi saya mempunyai sedikit kuasa, kita perlu membantu institusi pondok ini dan memastikan ilmu yang diajarkan terus memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




