BAGAN SERAI: UMNO akan meneliti terlebih dahulu laporan berhubung penglibatan ahli parti dalam Himpunan Turun Anwar di ibu negara hari ini sebelum sebarang tindakan diambil terhadap mereka.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, dakwaan kononnya terdapat ahli UMNO menyertai perhimpunan itu masih belum dapat dipastikan kesahihannya dan perlu disiasat secara terperinci.
“Kita tunggu laporan dulu, buat masa ini kita tidak tahu. Macam saya sebut tadi, mula-mula kita dengar seramai 15 orang meninggal dunia (dalam kemalangan) kerana jalan berlubang dan tayar pecah tapi apabila disiasat, rupa-rupanya tiada pun jalan berlubang dan tiada tayar pecah.
“Begitu juga dalam isu ini, kononnya ada orang UMNO terlibat, saya fikir kita perlu periksa dahulu kesahihan dakwaan itu dan tentunya pejabat UMNO akan buat apa-apa keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Serai di Dewan Dato Zainal Abidin Zin di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat.
Menurut beliau, tindakan orang ramai menyertai perhimpunan itu disifatkan sebagai tidak berfaedah kerana menggugat kestabilan politik yang kini stabil dan menggugat ekonomi negara yang berada dalam keadaan terkawal.
Beliau berkata, sebarang cubaan untuk mencetuskan ketidakstabilan hanya akan merugikan rakyat dan negara.
“Apa punca Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu turun? Beliau menerima sokongan 153 wakil rakyat, sokongan ini yang terbesar selepas Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2004.
“Kalau 10 wakil rakyat lari pun masih ada lagi 143 sokongan dan kerajaan masih berdiri lagi. Siapa 10 orang yang mahu lari ini? Tiada pun,” katanya.
Tambah beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya, walaupun himpunan itu dilihat tidak memudaratkan namun ia memberi imej buruk kepada rantau Asia Tenggara yang ketika ini turut dilanda isu lain seperti peperangan antara Thailand dan Kemboja.
Ujar beliau, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, juga telah menunaikan pelbagai janji termasuk menurunkan harga minyak dan kadar elektrik, seperti diumumkan baru-baru ini.
“(Himpunan) ini untuk bagi semangat kepada penyokong-penyokong mereka, itu saja tetapi saya yakin tidak ada pun yang memudaratkan sangat. Memang kita tidak suka kerana memberi imej tidak baik di rantau ini dengan peperangan atau pertempuran antara Thailand dengan Kemboja dan Malaysia pula ‘dizoom’ begitu rupa.
“Bukan Perdana Menteri tidak buat sesuatu, beliau sudah buat banyak perkara. Janji untuk harga minyak turun, kadar elektrik turun telah dilaksanakan dan hanya tinggal satu dua perkara sedang diusahakan,” katanya. – UTUSAN