Kansas City: Kapten England, Harry Kane mengakui berada dalam prestasi terbaik kariernya pada ketika dia meneruskan pemburuan jaringan di Piala Dunia 2026 bersama skuad The Three Lions.
Pemain berusia 32 tahun itu meledak dua gol ketika England bangkit menewaskan DR Congo 2-1, semalam, sekali gus mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik menentang tuan rumah bersama, Mexico.
Gol menarik Kane pada minit ke-86 turut menjadikan jumlah keseluruhan jaringannya musim 2025/26 kepada 72 gol untuk kelab dan negara, angka kedua tertinggi dalam satu musim selepas Lionel Messi merekodkan 82 gol pada 2011/12.
“Musim ini untuk saya, 72 gol setakat ini dan mungkin ada lagi selepas ini. Ia hampir lebih 20 gol daripada rekod terbaik saya sebelum ini.
“Saya mempunyai beberapa musim yang baik sebelum ini, tetapi dari segi keseluruhan, saya rasa inilah tahap terbaik yang pernah saya capai sebelum melangkah ke padang,” katanya menerusi program Lions’ Den England.
Kane yang sudah menjaringkan lima gol di Piala Dunia kali ini turut berada dalam perebutan Kasut Emas, selain meledak 61 gol bersama Bayern Munich ketika membantu kelab itu meraih kejuaraan berganda di peringkat domestik.
“Tidak kira situasi, saya rasa mampu menjaringkan gol setiap kali peluang datang. Semuanya kini seperti menjadi pada masa yang tepat,” katanya.
Dalam masa sama, Kane berkata, England tidak sabar menghadapi Mexico di Stadium Azteca yang terkenal dengan suasana panas dan cabaran altitud tinggi.
“Ia akan menjadi perlawanan yang luar biasa dari segi suasana dan cabaran. Perlawanan seperti ini sering menyaksikan prestasi terbaik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




