am@hmetro.com.my
Jerantut: Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad meninggal dunia akibat serangan jantung, di rumahnya di Taman Saujana Utama, di sini, hari ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, Zukri, 59 yang mempunyai rekod rawatan sakit jantung disahkan meninggal dunia seorang diri ketika di rumah jam 3 petang.
Menurutnya, kematian itu disedari pemandu beliau selepas ke rumah Allahyarham apabila dimaklumkan pegawai kanan polis terbabit tidak menjawab panggilan telefon sejak jam 2 petang.
“Sebaik pemandu terbabit yang juga anggota polis sampai, didapati pintu rumah Allahyarham berkunci.
“Selepas memberi salam dan memanggil tetapi tiada jawapan, anggota terbabit memecah pintu rumah dan menemui Allahyarham terbaring dalam tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi.
Yahaya berkata, anggota polis terbabit menghubungi Hospital Jerantut dan penolong pegawai perubatan tiba di rumah terbabit kira-kira jam 3 petang, mengesahkan Zukri sudah meninggal dunia.
Menurutnya, Ketua Polis Daerah terbabit mempunyai rekod rawatan sakit jantung.
“Pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar kepada pasukan polis kerana beliau antara pegawai kanan polis yang cemerlang dan komited sepanjang menjalankan tugas.” katanya
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Krau, Raub selepas Maghrib, hari ini.
Zukri, seorang duda meninggalkan seorang anak dan dilantik sebagai Ketua Polis Jerantut sejak 23 April tahun lalu serta akan bersara wajib Ogos depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd