Eropah dan Asia

Eropah dan Asia

lizamridzuan@hmetro.com.my

EROPAH dan Asia digabungkan dalam satu acara dengan kehadiran lebih 100 kenderaan daripada pelbagai model dan bentuk modifikasi untuk acara Impak Maksima 2 Autoshow & Meet ‘N’ Greet.

Suasana hujung minggu di Setiawangsa, Kuala Lumpur berubah menjadi acara perhimpunan yang menggabungkan elemen permotoran dan hiburan terutama kehadiran pelakon filem Impak Maksima 2 yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Acara ini adalah kerjasama antara Automotive Malaysia dan Dare To Speed (DTS.OTM) berjaya mencipta satu platform dinamik yang menggabungkan dua elemen tersebut.

Kehadiran pelakon utama filem berkenaan menambah kemeriahan acara, sekali gus memberikan nilai tambah kepada penganjuran autoshow ini.

Tiga segmen utama yang menjadi nadi acara ialah Conti VS JDM Autoshow, Dare To Speed Car Showcase, dan MDM Autoshow yang setiap satu hadir dengan konsep tersendiri, menyasarkan pelbagai lapisan peminat permotoran daripada kereta ‘old school’ hingga ke generasi muda.

Segmen Conti VS JDM Autoshow nyata mencuri perhatian apabila dua ‘mazhab’ automotif paling dominan kereta Continental dan Japanese Domestic Market (JDM) dipertontonkan dalam satu ruang yang sama.

Barisan model ikonik seperti BMW M series, Mercedes-Benz AMG, hingga ke Toyota AE86, Honda Civic EG dan Mazda RX-7 menjadi perhatian pengunjung sepanjang hari.

Buat penggemar modifikasi kreatif, Dare To Speed Car Showcase menawarkan pentas kepada pemilik dan kelab kereta untuk berkongsi hasil tangan mereka dalam suasana santai.

Tanpa sebarang tekanan pertandingan, showcase ini meraikan kepelbagaian gaya dan ditambah dengan pelakon utama Impak Maksima 2 turut hadir untuk sesi ramah mesra bersama peminat serta ramai pengunjung tidak melepaskan peluang bergambar dan mendapatkan autograf sambil melihat sendiri jentera yang diinspirasikan daripada filem berkenaan, menjadikan acara ini sebagai sebuah ‘crossover’ antara dunia permotoran dan seni perfileman tempatan.

Menurut wakil Automotive Malaysia, Nurul Izzah atau lebih dikenali sebagai Izzy berkata acara seperti ini penting bagi memperkukuh ekosistem permotoran negara, bukan sahaja untuk aspek teknikal, tetapi juga daripada sudut budaya dan gaya hidup selain menekankan pentingnya kerjasama antara pelbagai pihak bagi menaikkan industri acara permotoran.

“Acara ini bukan semata-mata untuk ‘show off’, tetapi untuk membina komuniti yang inklusif daripada pemilik kereta klasik ke peminat tegar JDM, semuanya dialu-alukan tanpa mengira tahap modifikasi atau jenama kenderaan,” katanya.

Sebagai penutup, pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan AEON AU2, semua kelab kereta yang hadir, dan pengunjung yang memberikan sokongan luar biasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top