am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penampilan istimewa tiga gitaris legenda iaitu JoBranko, Kid Search dan Aznan Alias bakal menghangatkan lagi Konsert The Grand Slam Unplugged 2 di Mega Star Arena, malam esok.
JoBranko yang juga pemain gitar kumpulan Barbarik berkata, pihaknya tidak ada masalah menerima tawaran dari kumpulan Slam untuk menjadi pemuzik jemputan pada konsert berkenaan walaupun genre muzik mereka berbeza.
Katanya, Slam adalah satu satunya kumpulan pop rock di Malaysia yang masih bertahan dan kekal sampai sekarang.
“Slam adalah satu kumpulan di mana mereka adalah ‘king’ (raja) untuk genre muzik yang mereka bawa iaitu pop rock.
“Jadi penghormatan itu memang kena beri pada Slam sebab mereka semua barisan pemuzik yang hebat. Mereka cuma bermain muzik yang lebih ‘mellow’ tapi saya tahu mereka sebenarnya ‘rockers’ juga dulu.
” Bila Shah (anggota Slam) undang saya untuk menjadi artis (pemuzik) undangan dalam konsert ini, saya cakap okay dan tidak ada nak ‘demand’ apa-apa,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan konsert berkenaan bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) di Istana Budaya, di sini semalam.
Berkongsi persiapan konsert pula, kata JoBranko, semuanya berjalan dengan lancar seperti dirancang.
“Dari awal lagi semua sudah diatur Shah dengan baik dan kita hanya ikut saja dan kerja kita pun menjadi mudah. Saya tak nampak ada isu di sini dan harap konsert ini juga ‘full house’ nanti.
“Kita juga harap pembabitan dalam konsert ini boleh bantu Slam dan mencipta satu momen di mana pengikut Slam pun tak pernah terfikir yang tiga rockers ini akan sertai Slam dalam Konsert Unplugged 2 ini,” katanya.
Ditanya pemilihan lagu pula, kata JoBranko, lagu Intan Ku, Kesepian dari album Belenggu Irama Wings pada 1987 yang akan disampaikan Zamani pada konsert itu dipilih oleh kumpulan Slam sendiri.
“Pemilihan lagu kena tanya Shah dan Zamani sebab sebab mereka yang pilih lagu untuk konsert ini.
“Saya okay sahaja lagu itu dipilih mungkin Zamani yang suka lagu itu,” katanya.
Kid pula berkata, lagu dendangan Search yang akan disampaikan pada konsert itu nanti ialah Gadisku.
“Lagu Gadisku itu juga dipilih kumpulan Slam untuk disampaikan pada konsert nanti. Ada satu lagi lagu finale yang dirahsiakan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




