“Kalau boleh, saya mahu dia beri fokus sepenuhnya membantu saya menguruskan syarikat terlebih dahulu. Bidang lakonan hanya sambilan.”
Demikianlah pendirian penerbit cantik, Datuk A Aida yang tidak menggalakkan anak perempuannya, Azeva Natassha untuk serius menceburi bidang seni atau menjadi pelakon sepenuh masa.
Walaupun menyedari Azeva mempunyai potensi dan bakat untuk menyerlah dalam bidang lakonan, A Aida menginginkan anak keduanya untuk mengetahui selok belok menguruskan syarikat miliknya, A Aida Production.
Walaupun begitu, pemilik nama sebenarnya Zaidah Awang ini tidak sepenuhnya menolak hasrat anaknya untuk berlakon, namun A Aida lebih selesa jika kemunculan Azeva di kaca televisyen dapat dikawal.
“Setakat ini, anak saya berlakon dengan A Aida Production sahaja. Ramai rakan pengarah yang ingin ambil dia berlakon, tetapi saya belum terbuka hati untuk memberi kebenaran.
“Buat masa ini, saya mahu dia fokus sebagai akauntan untuk syarikat memandangkan dia merupakan graduan bidang perakaunan di Melbourne, Australia. Syarikat sangat sibuk dan banyak kerja, saya mahu dia belajar selok belok pengurusan.

“Lagipun, agak rugi kalau dia tinggalkan apa yang sudah dia belajar dahulu. Kemunculan dia di kaca televisyen adalah secara terkawal. Dia juga ada perancangan untuk menyambung lagi pelajaran di peringkat ACCA (Association of Chartered Certified Accountants) selepas ini,” katanya.
A Aida berkongsi pandangannya itu ketika ditemui pada sidang media telefilem Bos Nak Cuti di A Aida Production, Sri Rampai, Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Telefilem yang dibintangi oleh Aniq Suhair dan Azeva Natassha bakal disiarkan hari ini, (Ahad, 27 Julai) di Salam HD 113 pada jam 3 petang.
Dalam pada itu, ibu kepada tiga cahaya mata ini tetap mengambil langkah menghantar Azeva ke kelas lakonan sebagai persediaan jika diperlukan di masa hadapan.
“Walaupun saya mahu anak saya terlibat dalam dunia lakonan secara sambilan, saya tetap mahu dia bersedia jika dia mahu berlakon dalam produk terbitan A Aida Production.
“Saya ada hantar dia masuk kelas lakonan dengan Fauziah Nawi sebagai persiapan jika pada masa akan datang. Biarlah dia menjadi seorang pelakon yang mempunyai asas dalam bidang lakonan.
“Sejujurnya, saya lihat Azeva boleh mewarisi legasi seni saya, dia ada bakat berlakon dan menyanyi. Namun begitu, ketika dia sedang belajar dahulu, dia tidak menunjukkan minat dalam bidang seni. Saya tetap meminta dia mencuba, jadi dia ada berlakon tetapi hanya membawa watak sampingan sahaja.
“Saya pesan dengan dia, saya nak warisi A Aida Production kepadanya. Namun saya tidak mahu bagi kosong, setidaknya dia memiliki pendidikan yang tinggi, jadi dia ambil keputusan sambung pengajian dalam perakaunan. Ia merupakan bekalan dan andai satu hari dia ambil alih syarikat, saya tak risau.
“Namun begitu, selepas habis belajar, dia cakap yang dia dah minat mahu berlakon, jadi saya terkejut. Sebab sebelum ini dia kata tak minat. Itu yang saya suruh dia berlakon dalam drama Bos Nak Cuti dan gandingan dengan Aniq Suhair,” katanya.
Telefilem Bos Nak Cuti yang diarahkan oleh Zul Huzaimy ini mengisahkan watak Melati (lakonan Azeva), seorang pekerja yang terdesak mahu bercuti untuk pulang ke kampung, tetapi dihalang oleh bos barunya, Adrian (lakonan Aniq). Melati nekad menipu Adrian kononnya dia perlu ke luar bandar atas urusan kerja, sedangkan niat sebenarnya adalah untuk pulang ke kampung sambil membawa bosnya sekali.

Sepanjang perjalanan, pelbagai insiden lucu dan konflik berlaku, termasuk bibit cinta yang tidak disangka-sangka antara mereka. Ketegangan memuncak apabila Melati hampir bertunang dengan lelaki kampung yang rupa-rupanya seorang penipu. Namun, akhirnya Adrian tampil menyelamatkan keadaan dan melamar Melati dengan restu ibunya.




