Kuala Lumpur: UDA Holdings Berhad (UDA), peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset mengambil inisiatif merancak ekonomi usahawan dan memperkukuh pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera menerusi pelancaran Kedai Kos Sederhana (KKS) UDA Vista yang dikhususkan untuk kuota awam Melayu, sempena Johor Property Expo 2025 (JPEX 2025).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Johari Shukri Jamil berkata, ia komitmen berterusan UDA menyokong agenda nasional dan memperkasa komuniti Bumiputera melalui pembangunan hartanah serta penyediaan ruang keusahawanan inklusif.
“Sejajar dengan aspirasi kerajaan, UDA komited melaksanakan inisiatif strategik dan mampan yang berupaya memacu pertumbuhan usahawan Bumiputera, khususnya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Usaha ini bukan sahaja memperkukuh ekonomi tempatan, malah turut merancakkan pembangunan sektor hartanah, terutamanya di negeri Johor yang sedang pesat membangun,” katanya.
Terletak di lokasi strategik Bandar UDA Utama, Johor Bahru, UDA Vista projek hartanah komersial mampu milik di bawah inisiatif Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ).
UDA menyokong inisiatif KKS mampu milik ini sebagai platform untuk membangunkan hab usahawan Bumiputera. Projek ini menawarkan sebanyak 62 unit ruang perniagaan pada harga yang mampu milik bermula serendah RM200,000.
© New Straits Times Press (M) Bhd