Bayi maut diserang anjing: Bapa saudara didakwa di mahkamah

Bayi maut diserang anjing: Bapa saudara didakwa di mahkamah

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lelaki yang ditahan berhubung kematian anak saudaranya yang dipercayai diserang anjing di Kampung Orang Asli Sungai Buloh pada 22 Julai lalu, dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, lelaki berusia 19 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan dibenarkan jamin sebanyak RM8,000.

“Dia membayar wang jaminan berkenaan sementara menunggu sebutan semula kes yang ditetapkan pada 30 September depan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Pada 24 Julai lalu, polis menahan bapa saudara bayi yang meninggal dunia selepas dipercayai diserang anjing.

Bayi malang itu diserang ketika tidur di ruang tamu rumah bersama bapa saudaranya.

Lelaki itu dikatakan tersedar apabila mendengar jeritan ibu bapa mangsa yang mendapati mangsa tiada serta pintu rumah dalam keadaan terbuka.

Mangsa disahkan meninggal selepas dibawa ibu bapanya untuk rawatan di Hospital Sungai Buloh dan punca kematian mangsa adalah serangan serta gigitan binatang yang ganas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top