am@hmetro.com.my
Shah Alam: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ingin mengambil kursus keusahawanan di Managenment and Science University (MSU) akan dibiayai sepenuhnya.
Ahmad Zahidi berkata, beliau akan meminta pembiayaan sepenuhnya dibuat oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop)malah perkara itu sudah dibincangkan dengan Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab. Yajid.
“Saya yakin tidak semua graduan TVET akan memasuki pasaran pekerjaan. Sebaliknya, ada dalam kalangan mereka yang mahu menjadi usahawan,
” Saya sudah bincang dengan Tan Sri agar satu modul khas (diwujudkan) bagi mereka yang mempunyai diploma ataupun ijazah yang berhasrat menceburkan diri dalam bidang keusahawanan (mempunyai peluang itu).
“Ini saya akan koordinasikan dengan Majlis TVET kerana pembiayaannya akan dibuat oleh KUSKOP dan perinciannya saya akan perbincangkan terperinci dalam satu atau dua minggu ini berdasarkan kepada keperluan pasaran dan juga kursus yang akan ditawarkan.
“Kita akan iklankan supaya jika ada dalam kalangan mereka yang mahu mengambil bidang yang saya sebutkan tadi, ianya akan dapat diselaraskan oleh Majlis TVET,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran TVET MSU di MSU, Seksyen 13 di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab. Yajid dan Naib Canselor MSU Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid.
Ketika ucapan perasmian, beliau mencabar MSU menawarkan sehingga 200 kursus TVET menjelang tahun 2030 berbanding 100 kursus yang ditawarkan pada ketika ini.
“Kita akan usahakan pembiayaan terbaik agar lebih ramai pelajar dapat menyambung pengajian dalam bidang ini,” katanya.
Pada masa sama katanya, beliau ingin memastikan semua institusi TVET termasuk MSU mencapai kadar kebolehpasaran graduan 100 peratus menjelang tahun 2028.
“Soal kebolehpasaran di dalam berbagai bidang, saya sebutkan bahawa purata nasional untuk kebolehpasaran berada di tahap 95.1 peratus. Tentunya, graduan daripada MSU melebihi daripada purata nasional dan saya mencabar agar mereka mencapai tahap 100 peratus pada tahun 2028 agar satu anugerah khas yang akan diwujudkan.
“Kita mempunyai sistem ekosistem baru di mana hanya 30 peratusdi bilik-bilik kuliah, 70 peratus di lapangan yang dipanggil konsep baru ‘Teaching Factory’ dan pendekatan ini akan memberikan peluang kepada bakal majikan dan industri untuk menilai pelajar yang akan menjadi tenaga mahir di syarikat-syarikat mereka,” katanya.
Beliau menjelaskan, perkara ini sudah dilaksanakan di UNIKL (Universiti Kuala Lumpur) dalam bidang aeroangkasa yang mana mereka sudah ditawarkan pekerjaan sebelum tamat pengajian.
“Satu atau dua semester sebelum mereka menamatkan pengajian di dalam bidang aero angkasa, mereka sudah ditawarkan pekerjaan oleh syarikat-syarikat syarikat MRO (penyelenggaraan, baik pulih dan pemeriksaan), syarikat-syarikat penerbangan khususnya produk-produk yang dikeluarkan oleh Airbus dan juga Boeing,” katanya.
Dalam perkembangan terkini katanya, semalam beliau mendapati sebanyak 100 tempat yang ditawarkan oleh sebuah syarikat penerbangan tambang murah yang menubuhkan Pusat MRO di Subang dan dikhususkan kepada beberapa institusi TIVET.
“Kita juga sedang mengusahakan lebih banyak kerjasama dengan syarikat penerbangan negara dan kos rendah untuk menjadikan Malaysia sebagai hab MRO serantau,” jelas beliau.
© New Straits Times Press (M) Bhd




