Pukul penghantar makanan, dua lelaki Pakistan direman empat hari

Pukul penghantar makanan, dua lelaki Pakistan direman empat hari

mhafis@mediprima.com.my

Ampang Jaya: Dua lelaki Pakistan memukul seorang penghantar makanan di Jalan Avenue 3, Ampang, di sini, kerana tidak berpuas hati selepas mendakwa mangsa memaki dalam telefon.

Bagaimanapun tindakan suspek berusia 27 dan 35 tahun itu mengundang padah apabila ditahan polis kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, lelaki berusia 31 tahun bekerja sebagai penghantar barang membuat laporan polis pada jam 1.40 tengah hari, 23 Julai lalu.

Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa ada berhubung dengan seorang lelaki untuk menghantar barang.

“Ketika sampai dia mendapati terdapat dua lelaki dan menyerahkan barangan itu yang perlu dibayar secara tunai.

“Namun berlaku salah faham yang mana suspek mula memarahi mangsa dan menyatakan dia ada memakinya.

“Suspek menolak mangsa dan berlaku pergelutan sebelum lehernya dikepit oleh seorang suspek manakala seorang lagi suspek memukul dengan menggunakan kayu di belakang badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, susulan itu, pada jam 1.40 tengah hari kelmarin, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan dua suspek di di Jalan Avenue 3, dan merampas sebatang buluh sepanjang 65 sentimeter (sm) bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal polis dapati kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek yang menuduh mangsa memakinya melalui panggilan telefon sebelum menghantar barang.

“Permohonan reman kedua suspek dibenarkan selama empat hari bermula semalam hingga Jumaat ini,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top