am@hmetro.com.my
Pasir Gudang: Ibu kepada kanak-kanak yang dijerut dan ditanam di Rompin sudah dibenarkan pulang selepas dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) akibat mengalami kemurungan.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, wanita berkenaan dalam keadaan stabil.
“Polis mengesahkan ibu mendiang dibenarkan keluar dari hospital pagi tadi.
“Dia dalam keadaan stabil,” katanya.
Sebelum ini, Sohaimi menyatakan pihaknya menerima laporan daripada wanita itu pada 22 Julai lalu mendakwa suaminya memukulnya dan membawa keluar anak mereka dari rumah.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumahtangga .
Kelmarin, media melaporkan mayat kanak-kanak berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri pada 24 Julai lalu ditemui ditanam di kawasan Rompin, Jempol.
Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia akibat tekanan pada leher.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa maut akibat jerutan menggunakan pengikat kabel.
Bapa mangsa berusia 36 tahun ditahan dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Suspek sebelum ini membuat laporan polis mendakwa anaknya hilang selepas ditinggalkan dalam kereta ketika dia keluar membeli makanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




