lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penangguhan kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini hanyalah untuk tahun ini sahaja.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tiada sebarang perancangan untuk merunding semula perjanjian konsesi tol secara menyeluruh buat masa ini.
Menurutnya, walaupun kerajaan boleh berunding dengan syarikat konsesi lebuh raya untuk menangguhkan kenaikan kadar tol, kerajaan perlu membayar pampasan sebagai gantinya.
“Itu saya dah beritahu, untuk yang diumumkan, penangguhan ini untuk tahun 2025 sahaja,” katanya selepas program Podcast Borak Harini di Balai Berita Bangsar, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan bercadang untuk kembali ke meja rundingan bagi menyemak semula perjanjian konsesi sedia ada.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penangguhan kenaikan kadar tol yang dijadualkan tahun ini bagi 10 lebuh raya demi meringankan beban rakyat.
Beliau dipetik berkata, kerajaan menanggung implikasi kewangan melebihi RM500 juta bagi membolehkan pengguna terus menikmati kadar tol sedia ada tanpa sebarang kenaikan.
Mengulas lanjut, Nanta berkata, rundingan semula secara menyeluruh tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana setiap perjanjian konsesi masih berjalan dan mempunyai tempoh yang berbeza.
“Rundingan semula ini tak boleh kita buat begitu sebab tempoh dia masih berjalan. Lain lebuh raya, lain perjanjian, lain tempohnya. Tak serentak.
“Kalau nak rombak keseluruhan kontrak (total overhaul), tak bolehlah,” katanya.
Walau bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan rundingan semula boleh berlaku jika ia dipersetujui oleh pihak syarikat konsesi itu sendiri.
“Kalau dia (syarikat konsesi tol) sudi, mungkinlah. Tapi nak katakan bawa dia ke meja rundingan itu, setakat ini kita belum ada hala tuju begitu,” katanya.
- Jika kadar tol 10 lebuh raya tak ditangguh, ada kenaikan hingga 83 peratus
- Bukan mudah mansuh tol – Menteri
- M40 turut nikmati manfaat inisiatif kurangkan kos sara hidup – PM
- Penangguhan kenaikan kadar tol beri manfaat kepada lebih 900,000 pengguna
- Pengumuman PM: 10 tol tidak naik harga
© New Straits Times Press (M) Bhd




