Lebih 4,300 pekebun kecil nikmati pembiayaan tanam semula sawit

Lebih 4,300 pekebun kecil nikmati pembiayaan tanam semula sawit

KUALA LUMPUR – Seramai 4,364 pekebun kecil persendirian telah menerima manfaat menerusi Program Insentif Pembiayaan Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil (TSPKS 2.0) dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM190.13 juta sehingga 30 Jun lalu.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pembiayaan itu melibatkan kawasan tanaman seluas 12,145.51 hektar bagi membantu pekebun kecil melaksanakan penanaman semula pokok sawit yang telah melepasi umur ekonomi.

Menurutnya, langkah tersebut penting bagi meningkatkan produktiviti ladang, hasil pengeluaran serta pendapatan pekebun kecil.

“TSPKS 2.0 merupakan antara inisiatif kerajaan untuk memperkukuh agenda pembaharuan industri sawit negara menerusi penanaman semula pokok sawit yang tidak lagi produktif.

“Program ini bukan sahaja membantu meningkatkan hasil ladang, malah menjadi pelaburan jangka panjang bagi memastikan kesejahteraan pekebun kecil serta kelangsungan industri sawit negara,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan keseluruhan RM200 juta bagi pelaksanaan TSPKS 2.0 membabitkan RM100 juta pada 2024, RM50 juta pada 2025 dan RM50 juta bagi tahun ini.

Daripada peruntukan tahun 2026 itu, katanya, sebanyak RM47.61 juta telah diluluskan kepada 1,133 pekebun kecil sehingga 30 Jun lalu.

Noraini berkata, pelaksanaan program tersebut turut menyumbang kepada peningkatan kadar penanaman semula kelapa sawit negara daripada 2.0 peratus pada 2024 kepada 3.4 peratus pada 2025.

Jelas beliau, bagi mencapai sasaran kadar penanaman semula sekurang-kurangnya empat peratus setahun menjelang 2030, kementerian akan terus memperluaskan pelaksanaan TSPKS 2.0.

“Usaha itu akan disokong melalui penggunaan bahan tanaman berkualiti tinggi, pemerkasaan khidmat Pegawai TUNAS MPOB serta peningkatan penggunaan mekanisasi dan automasi.

“Kementerian juga akan terus mengukuhkan penyertaan pekebun kecil secara berkelompok menerusi Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) bagi memastikan industri sawit negara terus produktif, berdaya saing dan mampan,” katanya.

Scroll to Top