hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 20 warga asing termasuk wanita dipercayai pelayan pelanggan (GRO) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur dalam serbuan Ops Gegar di sebuah spa di Bukit Bintang, di sini, hari ini.
Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 29 individu dalam serbuan berkenaan, sebelum menahan 20 warga asing dan dua lelaki tempatan dipercayai penjaga premis.
Menurutnya, warga asing yang ditahan membabitkan enam wanita warga Indonesia, lima wanita warga Vietnam, dua wanita dan tiga lelaki warga Bangladesh, masing-masing seorang wanita warga China dan Mongolia serta dua lelaki warga Afghanistan.
“Mereka ditahan kerana menjalankan aktiviti tidak bermoral dan tidak memiliki permit kerja yang sah.
“Selain itu, sebanyak tujuh notis saman kepada saksi dikeluarkan kepada pelanggan untuk hadir membantu siasatan di (pejabat) JIM Kuala Lumpur,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 56(1)(d), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
© New Straits Times Press (M) Bhd




