sukan@hmetro.com.my
Seremban: Pengendali Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC, Eddy Gapil, mahu menggunakan kesempatan terbaik aksi pramusim menentang Sabah FC, Jumaat ini, untuk memilih barisan kesebelasan utama pasukan itu, menjelang berhadapan cabaran besar saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/2026.
Beliau berharap dapat menguji prestasi anak buahnya pada perlawanan yang akan diadakan secara tertutup di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) itu.
“Persiapan pramusim kami hampir menuju ke penghujungnya apabila perlawanan terakhir dijangka akan menemukan PDRM FC dengan Sabah FC di Stadium Selayang, Jumaat ini.
“Selain menilai tahap kecergasan dan persefahaman antara pemain, fokus utama kita pada perlawanan itu nanti adalah untuk mengenal pasti barisan kesebelasan terbaik pasukan.
“Saya berharap dapat menguji prestasi dan persembahan setiap pemain termasuk import, sebelum kita memulakan cabaran dalam saingan Liga M musim 2025/2026 pada 9 Ogos,” kata Eddy.
Menurut Eddy, PDRM sudah memuktamadkan untuk menggunakan tujuh pemain import musim 2025/2026 dengan enam daripada pemain terbabit sudah bersama pasukan itu.
Katanya, baki seorang lagi pemain import dijangka akan tiba dalam tempoh terdekat selepas urusan perpindahannya selesai dan pemain itu dijangka akan dapat beraksi pada perlawanan pramusim dengan Sabah FC, Jumaat nanti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




