suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Sungai Buloh: Polis meminta bantuan orang ramai mengesan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumahnya di Bandar Baru Sungai Buloh, di sini, sejak Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan remaja itu yang dibuat ibunya pada jam 8.32 malam pada Isnin lalu.
Katanya, remaja terbabit dikenali sebagai K. Santhini dengan ketinggian 165 sentimeter (cm), berat 68 kilogram (kg), berkulit gelap dan berambut panjang hingga paras pinggang.
“Kali terakhir dia dilihat memakai seluar pendek berwarna hitam gelap dan baju-T lengan pendek berwarna putih,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, orang ramai yang menemui atau mempunyai sebarang maklumat mengenai kedudukan remaja ini boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Sarjan Shamie Yosup di talian 013-6463069.
© New Straits Times Press (M) Bhd




