firdaushashim@hmetro.com.my
Glasgow: Datuk Azizulhasni Awang semakin hampir menamatkan penantian panjang untuk meraih pingat emas pertama Sukan Komanwel apabila berjaya melayakkan diri ke final acara keirin di Velodrom Sir Chris Hoy, awal pagi tadi.
Jaguh berbasikal trek negara itu mempamerkan kayuhan bertenaga apabila menamatkan perlumbaan separuh akhir pertama di tempat kedua di belakang pelumba Australia, Tayte Ryan, sekali gus mengesahkan tempat ke final.
Juara bertahan dari Trinidad dan Tobago, Nicholas Paul pula melengkapkan kelompok tiga pelumba terbaik di tempat ketiga untuk turut mara ke final.
Bagaimanapun, kejayaan Azizulhasni gagal diikuti rakan senegaranya, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang terkandas dalam separuh akhir kedua selepas menamatkan perlumbaan di tempat keempat, sekali gus terlepas peluang memburu pingat.
Tiket ke final itu membuka peluang terbaik buat Azizulhasni menamatkan penantian memburu pingat emas yang masih belum berjaya dimenanginya sepanjang penyertaan di temasya berkenaan.
Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu sebenarnya pernah berada di ambang kejayaan ketika final keirin Sukan Komanwel Delhi 2010 apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua di belakang bekas rakan sepasukan, Josiah Ng.
Namun, Azizulhasni kemudiannya diturunkan ke tangga keenam selepas didapati melakukan kesalahan menunggang secara berbahaya, sekali gus menyaksikan pingat emas menjadi milik Josiah.
Empat tahun kemudian di Glasgow, Azizulhasni sekadar membawa pulang pingat gangsa sebelum menamatkan saingan di tempat keenam pada edisi Gold Coast 2018.
Juara dunia keirin 2017 itu tidak beraksi pada Birmingham 2022 kerana masih menjalani proses pemulihan selepas pembedahan jantung terbuka bagi membetulkan masalah anomali arteri koronari yang dihidapinya sejak lahir.
Kini, selepas sekali lagi melangkah ke pentas final, Azizulhasni berpeluang menutup satu lagi ‘akaun belum selesai’ dalam karier gemilangnya dengan menghadiahkan emas sulung Sukan Komanwel buat dirinya dan kontinjen negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




