Indeks pengeluaran industri melonjak

Indeks pengeluaran industri melonjak

bhbiz@nstp.com.my

PUTRAJAYA: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) melonjak 9.3 peratus pada Mac 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pertumbuhan IPP pada bulan dikaji dipacu oleh indeks pembuatan dan elektrik apabila masing-masing meningkat 12.7 peratus dan 10.3 peratus.

“Sementara itu, indeks perlombongan menguncup 1.9 peratus,” katanya dalam terbitan IPP Malaysia, Mac 2021 hari ini.

Penerbitan itu memaparkan statistik IPP yang terdiri daripada tiga sektor utama iaitu perlombongan, pembuatan dan elektrik.

Output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 12.7 peratus pada Mac 2021 selepas mencatatkan pertumbuhan 4.5 peratus pada bulan sebelumnya.

Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan pada Mac 2021 adalah kelengkapan pengangkutan & pembuatan lain (20.9 peratus), produk petroleum, kimia, getah & plastik (14.1 peratus) dan produk peralatan elektrik & elektronik (13.8 peratus).

Industri berorientasikan eksport menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan sebanyak 12.4 peratus manakala

industri berorientasikan domestik meningkat 13.4 peratus.

Pertumbuhan sektor pembuatan turut didorong oleh kadar kapasiti penggunaan kilang yang tinggi terutama dalam subsektor produk peralatan elektrik & elektronik dan produk petroleum, kimia, getah & plastik.

Selain itu, prestasi sektor pembuatan juga selari dengan pertumbuhan eksport yang memberangsangkan dan IPP bagi beberapa rakan dagang utama Malaysia.

Output sektor perlombongan menguncup 1.9 peratus pada Mac 2021 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Kemerosotan disebabkan oleh penurunan dalam indeks minyak entah & kondensat (-9.4 peratus).

Pada masa yang sama, indeks gas asli tumbuh positif 4.3 peratus.

Sementara itu, output sektor elektrik pada bulan berkenaan meningkat 10.3 peratus berbanding Mac 2020.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top