Lelaki China dijel 10 bulan kerana mencuri dalam pesawat

Lelaki China dijel 10 bulan kerana mencuri dalam pesawat

Singapura: Seorang lelaki warga China dihukum penjara 10 bulan kerana mencuri kad debit dan wang tunai milik penumpang dalam penerbangan syarikat tambang rendah Scoot dari Kuala Lumpur ke Singapura.

Memetik The Straits Times, tertuduh, Liu Xitang, 35, mengaku bersalah atas satu pertuduhan mencuri dan dijatuhi hukuman oleh Hakim Daerah Eddy Tham pada 30 Julai lalu.

Menurut hakim, mesej tegas perlu disampaikan bagi menghalang individu lain daripada melakukan jenayah serupa.

Kes itu juga membabitkan rakan subahatnya, Wang Wei, 41, yang turut didakwa dan difahamkan kesnya masih dalam perbicaraan.

Menurut media yang sama, mereka memasuki Malaysia dari China pada 31 Mei lalu dan merancang transit ke Hong Kong selepas penerbangan ke Singapura.

Dalam pesawat Scoot TR469 pada 2 Jun, Liu menyelongkar beg milik seorang wanita Malaysia berusia 39 tahun yang diletakkan di ruang simpanan atas tempat duduk.

Kemudian, dia mencuri dua kad debit dan wang tunai S$169 (kira-kira RM590), lalu memasukkan barang itu ke dalam beg ScootPlus sebelum menyerahkannya kepada Wang.

Liu turut menghubungi individu tidak dikenali melalui aplikasi WeChat dan memaklumkan bahawa dia memperoleh ‘biskut’ iaitu kod yang digunakan bagi merujuk kepada kad debit.

Kemudian, perbuatannya disaksikan dua penumpang lain, manakala seorang pramugari melihat Liu menyerahkan beg itu kepada Wang sebelum pesawat berlepas.

Selepas pesawat mendarat, dua penumpang berkenaan memaklumkan kepada mangsa untuk memeriksa begnya dan wanita itu kemudian terus membuat laporan polis.

Susulan itu, pihak polis berjaya menahan Liu dan Wang di Lapangan Terbang Changi tidak lama selepas itu, manakala kad debit mangsa ditemukan dalam tong sampah dan wang tunai dipulangkan oleh Wang.

Pendakwa juga mendedahkan terdapat kemungkinan mereka adalah sebahagian daripada sindiket jenayah terancang yang menyasarkan penerbangan jarak pendek di Asia.

Antara Januari hingga Mei lalu, tiga individu didakwa atas kesalahan sama di Singapura, meningkat berbanding hanya satu kes bagi tempoh sama tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top