London: Kelab baharu Liga Perdana Inggeris (EPL), Burnley bakal mencipta sejarah apabila menawarkan pengalaman menonton perlawanan secara realiti maya (VR) kepada penyokong mereka, sesuatu yang pertama seumpamanya dalam bola sepak.
Kerjasama bersama syarikat pakar VR berpangkalan di Manchester, Rezzil, akan menyaksikan penyokong berpeluang ‘duduk’ di dalam Stadium Turf Moor walaupun hanya berada di rumah masing-masing.
Perlawanan pra musim Burnley menentang kelab Serie A, Lazio pada 9 Ogos ini akan menjadi aksi sulung yang disiarkan secara VR lengkap dengan audio suasana stadium dan ulasan perlawanan secara langsung.
“Ia mencerminkan pendekatan kami yang berpandangan jauh dalam membabitkan penyokong serta komitmen kami kepada peminat di seluruh dunia,” kata Pengerusi Burnley, Alan Pace.
“Misi kami adalah untuk menyediakan pengalaman terbaik buat penyokong, dan melalui dunia realiti maya ini, mereka boleh merasai kehangatan aksi lebih dekat dari sebelumnya.”
Teknologi VR Rezzil sebelum ini digunakan atlet elit dalam pelbagai sukan untuk latihan dan analisis prestasi, malah syarikat itu juga menandatangani perjanjian empat tahun dengan EPL tahun lalu bagi mempertingkatkan pembabitan penyokong secara digital.
“Kami sangat teruja dapat bekerjasama dengan Burnley dan EPL untuk memperkenalkan pengalaman bola sepak generasi baharu kepada peminat,” kata Pengasas Bersama Rezzil, Andy Etches.
“Teknologi kami yang dipercayai atlet elit kini digunakan untuk penyokong. Ia cara baharu menyaksikan bola sepak, seolah-olah duduk di dalam stadium sebenar.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




