PETALING JAYA: Pelakon, Zara Zya mencuit hati ramai apabila mendedahkan dirinya pernah disangka memakai susuk oleh seorang doktor gigi susulan kesan pembedahan dari bahagian pipi hingga ke lehernya.
Menerusi perkongsiannya di platform Threads, Zara Zya atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 40, mengimbau kembali kejadian terdahulu dengan memuat naik sekeping gambar imbasan X-ray yang memaparkan beberapa objek seakan jarum tersembunyi di bahagian bawah pipinya.
“Tengah kemas galeri, terjumpa gambar X‑ray masa saya buat check up gigi beberapa tahun lepas. Nampak tak sesuatu kat bawah pipi tu?
“Beria doktor suruh staf semua keluar bilik dan dia mulalah susun ayat untuk bertanya pada saya sambil berbisik dulu ada pakai susuk ke?
“Pening saya fikir, bila masa pula saya buat benda itu,” tulisnya di Threads.
Bagaimanapun, Zara memberi penjelasan kepada doktor bahawa objek yang dilihat bukanlah susuk, sebaliknya merupakan pin pembedahan hasil prosedur yang pernah dilalui sebelum ini.
“Doktor tak baik eh fikir saya pakai susuk. Itu pin sebab saya buat pembedahan dari pipi ke leher,” ujarnya.
Katanya, reaksi doktor turut mencuit hati Zara kerana wajahnya kelihatan seperti masih ragu-ragu, malah doktor itu turut berkongsi kisah pesakit lain yang mengaku memakai susuk selepas hasil X‑ray menunjukkan gambaran serupa.
“Tapi, selepas saya terangkan dan cerita pun, muka dia (doktor) masih macam antara nak percaya dengan tak.
“Dia sibuk pula cerita kisah orang lain. Bila X‑ray ada nampak seakan macam tu juga tapi lebih banyak. Dan mereka mengaku pakai sesuatu. Tak pasal kita perlu layan tazkirah dia pula.
“Yang kelakar, dari elok pasang lagu Sheila On 7, terus pasang zikir. Kau ingat aku hantu ke doktor?,” katanya.
Zara memaklumkan kejadian tersebut berlaku sekitar beberapa tahun lalu, namun ia menjadi pengalaman yang cukup melucukan buat dirinya.
Terdahulu, Zara Zya pernah menjalani beberapa prosedur perubatan termasuk pembedahan membuang kelenjar di bahagian pipi, pembuangan cyst dan fibroid, serta menerima suntikan facet joint injection selepas disahkan menghidap beberapa komplikasi kesihatan. – UTUSAN