Tugas lahirkan jaguh perseorangan bukan di bahu Jonassen seorang – Pekan

Tugas lahirkan jaguh perseorangan bukan di bahu Jonassen seorang – Pekan

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Kalau semua tanggungjawab terletak di bahu Kenneth (Jonassen), penatlah dia.”

Demikian pendapat pemerhati sukan tempatan, Datuk Pekan Ramli yang tidak setuju sekiranya tugas melahirkan pemain perseorangan berkaliber diletakkan di bahu Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu sepenuhnya.

Malah Pekan menegaskan, kegagalan untuk melahirkan pemain perseorangan terbaik ketika ini tidak boleh ditujukan sepenuhnya kepada pengendali dari Denmark itu sahaja.

“Sebenarnya tugas Jonassen adalah untuk gilap bakat yang terpilih masuk ke skuad kebangsaan, bukannya beliau kena bentuk pemain itu dari awal.

“Kegagalan kita sebenarnya adalah daripada peringkat pembangunan bermula di sekolah, remaja dan kemudian barulah masuk ke akademi kebangsaan,” katanya ketika dihubungi.

Jelas Pekan, melihat kepada situasi semasa, beliau berasakan Malaysia perlu menunggu lebih lama lagi untuk melahirkan seorang pemain perseorangan berkaliber.

“Selagi kita tak ada juara di peringkat remaja dekat kejohanan Asia dan Dunia, selagi itulah tak akan ada pemain negara yang menyerlah di peringkat senior.

“Boleh lihat kepada rekod sebelum ini bagaimana pemain terkemuka sekarang pernah menjadi juara di peringkat remaja.

“Untuk melahirkan pemain hebat seperti Datuk (Seri) Lee Chong Wei banyak faktor perlu dilihat dan ia bukan hanya terletak kepada jurulatih sahaja,” katanya.

Pada Kejohanan Badminton Remaja Asia 2025 di Solo, Indonesia minggu lalu, tiada seorang pun wakil perseorangan lelaki mahupun wanita negara berjaya melangkah ke pusingan suku akhir, satu kemerosotan ketara berbanding edisi tahun lalu yang menyaksikan Malaysia membawa pulang satu pingat perak dan tiga gangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top