London: Pemain sayap Perancis, Bradley Barcola kini menjadi pembelian termahal kedua dalam sejarah Liverpool selepas menyertai gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dari Paris Saint-Germain (PSG), hari ini.
Sumber yang rapat dengan PSG memberitahu AFP bahawa perpindahan Barcola bernilai €125 juta (RM584 juta) selain €20 juta (RM93.4 juta) dalam bentuk bonus yang mudah dicapai.
Jumlah keseluruhan yuran perpindahan itu mencecah £124 juta (RM676 juta), hanya di belakang £125 juta (RM681 juta) yang dibayar Liverpool kepada Newcastle United untuk mendapatkan bintang Sweden, Alexander Isak.
Yuran perpindahan Barcola itu juga menjadi yang tertinggi pernah dibayar untuk pemain dari Ligue 1.
Pemain berusia 23 tahun itu menjadi penyerang ketiga bernilai lebih £100 juta (RM545.6 juta) yang ditandatangani Liverpool dalam tempoh dua tahun.
Isak menyertai Liverpool dari Newcastle tahun lalu, manakala kelab itu turut membayar sekitar £100 juta untuk mendapatkan Florian Wirtz dari Bayer Leverkusen.
Namun, kedua-duanya masih belum benar-benar membuktikan nilai yuran perpindahan tinggi itu, dengan Isak turut terlepas sebahagian besar musim lalu akibat kecederaan.
Barcola yang menandatangani kontrak jangka panjang seperti diumumkan Liverpool, belum beraksi bersama PSG musim ini berikutan spekulasi mengenai masa depannya.
“Ini satu kebanggaan kerana dapat bermain untuk Liverpool. Saya sangat gembira.
“Ia mengambil masa yang lama tetapi saya benar-benar gembira hari ini kerana dapat bermain untuk Liverpool dan apa yang saya mahukan hanyalah berada di atas padang serta beraksi,” katanya kepada laman web rasmi kelab baharunya itu, hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd
