am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Usaha hari kedua Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang lagi mangsa Kapal Layar Daisy yang karam di perairan Pulau Yu, di sini, Selasa lalu, masih belum menemui sebarang petunjuk baharu.
Pegawai Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Leftenan Komander Maritim Mohammad Asyraf Ab Ghani berkata, operasi yang bermula jam 7 pagi itu memberi tumpuan kepada sektor pencarian seluas 300 batu nautika persegi.
Katanya, empat aset digerakkan termasuk dua pesawat udara, kapal KM SEBATIK dan bot PENGGALANG 45, dengan kekuatan seramai 29 anggota.
“Keadaan laut yang bergelora menyukarkan operasi, terutama di kawasan berhampiran Pulau Bidong.
“Setakat ini, tiada sebarang petunjuk baharu ditemui dan pencarian akan diteruskan menggunakan kaedah selaman,” katanya ketika ditemui di Pejabat Maritim Malaysia Terengganu, hari ini.
Beliau berkata, pasukan penyelam akan memfokuskan selaman di sekitar Pulau Tengkorak dan Pulau Gelok, berdasarkan maklumat dikongsi kapten kapal.
“Esok, skuadron penyelam dari Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) Kuantan dijadual tiba bersama alat pengesan Remotely Operated Underwater Vehicle (ROV) bagi membantu mengesan bangkai kapal,” katanya.
Dalam kejadian jam 2.30 petang Selasa lalu, kapal layar Daisy yang membawa tiga pelayar warga Turkiye karam akibat dibadai ribut ketika dalam pelayaran dari Pulau Tioman ke Pattani, Thailand.
Dua mangsa, Ates Dameroren, 42, dan kapten kapal Ahmet Volkan Ata, 32, ditemukan selamat selepas masing-masing terapung di laut selama 25 dan 48 jam. Mereka kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Difahamkan, berdasarkan maklumat mangsa yang selamat, seorang lagi rakannya dipercayai gagal keluar dari kapal sebelum ia karam. Ketiga-tiga mereka menyertai ekspedisi mengelilingi dunia dengan laluan terakhir dirancang berakhir di Pelabuhan Istanbul, Turkiye.
© New Straits Times Press (M) Bhd




