Washington: Selepas lebih lapan dekad dilaporkan hilang apabila pesawatnya terhempas akibat dipanah petir ketika Perang Dunia Kedua, jasad seorang anggota tentera udara Amerika Syarikat (AS) akhirnya berjaya dikenal pasti dan dibawa pulang ke tanah airnya.
Wira perang yang terkorban dalam misi ketenteraan 80 tahun lalu, sebelum ini dikategorikan sebagai hilang dalam tugas selepas pesawat yang dinaikinya terhempas akibat dipanah petir yang semasa operasi di ruang udara Eropah.
Usaha pencarian dan dokumentasi yang memakan masa puluhan tahun oleh agensi pemulihan tawanan perang dan kakitangan hilang (DPAA) Jabatan Pertahanan AS akhirnya membuahkan hasil menerusi ujian DNA dan analisis forensik moden ke atas sisa rangka yang ditemui di tapak nahas.
CNN melaporkan perjalanan membawa pulang jasad Leftenan Pertama Franklin McKinney ke Amerika Syarikat (AS) akhirnya membuahkan hasil.
Usaha ini dijayakan menerusi rantaian peristiwa luar biasa yang bermula daripada tugasan kertas kerja seorang kadet Akademi Tentera Udara AS, keakraban seorang pegawai tentera udara Thailand, memori luar biasa seorang warga emas berusia 90-an, sifat ingin tahu seorang ekspatriat AS, sehinggalah kepada kejadian banjir besar di Bangkok.
Menurut Kedutaan AS di Bangkok, baki rangka jasad yang ditemui di sebuah sawah padi di utara Thailand telah disahkan sebagai milik McKinney.
Beliau dilaporkan hilang ketika menerbangkan pesawat F-5E iaitu versi tinjauan bagi pesawat pejuang enjin berkembar P-38 Lightning dalam misi ketenteraan pada 5 November 1944.
Pihak pengurusan tentera dan ahli keluarga terdekat melahirkan rasa syukur yang amat mendalam kerana selepas sekian lama diselubungi misteri, mangsa akhirnya dapat diberikan penghormatan terakhir yang sewajarnya di bumi kelahirannya.
Upacara pengebumian ketenteraan dengan penuh adat istiadat dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat, bagi menghargai jasa dan pengorbanan besar yang telah dicurahkan oleh mendiang demi negara.
Anak saudara dan waris terdekat mangsa menyifatkan kepulangan jasad ini sebagai satu keajaiban yang menutup penantian panjang beberapa generasi dalam keluarga mereka yang merindui kepastian mengenai nasibnya.
Pentagon menegaskan bahawa kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan AS untuk menjejaki dan membawa pulang setiap anggota anggotanya yang hilang dalam medan perang, tidak kira berapa lama masa yang telah berlalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




